Timbalan Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming berkata, peningkatan itu jelas membuktikan bahawa projek kereta nasional baharu itu tidak terjejas dengan keputusan firma United Kingdom, Dyson untuk membuka sebuah kilang pengeluaran kereta elektrik baharu di Singapura.

“Bagi saya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbangkan keputusan Dyson ini kerana kita bukannya tewas dengan Singapura (dalam kes ini),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Kecemerlangan Perniagaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sini hari ini.

Ong berkata, kewujudan kilang kereta elektrik itu sebaliknya boleh memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia yang kini berpeluang me­nyertai rantaian nilai terbabit.

“Dyson memilih Singapura berikutan lokasi strategik republik itu dari segi rantaian bekalan global dan sudah pasti Johor akan menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Malah, katanya, lebih ba­nyak berita menarik membabitkan pelaburan Dyson itu akan diumumkan oleh Menteri MITI, Datuk Darell Leiking sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke Bangkok.

Sementara itu, Ong berkata, ramai penggiat industri teruja dengan Dasar Industri 4.0 yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Oktober ini.

“Ini adalah sesuatu yang diharapkan oleh penggiat industri dan mereka ingin melihat bagaimana perkara itu dapat dijanakan menerusi Bajet 2019,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Ong berkata, bagi tempoh 2014-2017, produktivi buruh Malaysia meningkat sebanyak 3.5 peratus manakala kadar penggajian turut menokok 1.5 peratus.

“Aliran yang menggalakkan ini perlu dikekalkan dengan pelbagai inisiatif yang menumpukan daya saing eksport Malaysia, menerap­kan integrasi serantau, peneri­magunaan teknologi baharu dan pembangunan modal insan serta kecemerlangan organisasi yang merupakan teras persiapan bagi masa depan,” katanya. – BERNAMA