MUSTAPA MOHAMED
Mustapa Mohamed 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jawatankuasa itu akan membantu wakil-wakil daripada kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dengan TPPA.

“Kami akan memaklumkan kepada rakan-rakan Kabinet kami sebelum jawatankuasa kebangsaan itu dibentuk kerana kami memerlukan kerjasama daripada semua kementerian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Simposium Labur Jepun-Malaysia, di sini hari ini.

Mustapa berkata, cadangan pembentukan jawatankuasa itu dibincangkan dengan pengerusi Kaukus Parlimen bagi TPPA semalam.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa tersebut dan badan-badan subsidiari yang akan ditubuhkan menyerupai penubuhan suruhanjaya bersama TPP dan jawatankuasa kecil di bawah perjanjian perdagangan itu.

Satu jawatankuasa pe­rundingan berasingan akan dibentuk untuk mendapatkan maklum balas dan menilai kesan pelaksanaan TPPA dari semasa ke semasa.

“Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil pemain industri, dewan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana, pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pemegang kepentingan tempatan lain,” kata MITI sambil menambah pengli­batan kerajaan dengan pemegang kepentingan tempatan akan dite­ruskan sepanjang tempoh itu sebelum pengesahan TPPA pada 2018.

“Kami berharap pembentukan jawatankuasa kebangsaan dan perundingan itu akan membantu kita dalam mencapai matlamat kita iaitu bagi memastikan Malaysia akan mengambil kesempatan daripada peluang dan mengurangkan cabaran yang akan dibawa oleh TPPA,” kata kementerian itu. – BERNAMA