Peneroka menolak alasan-alasan lazim yang diberikan seperti penyelewengan pentadbiran terdahulu dan kedudukan kewangan yang teruk. Kemarahan itu mengelegak dan meletus ke langit setelah Felda mahu menurunkan pula bayaran pinjaman sara hidup.

Ini adalah julung kali kemarahan disuarakan sebegitu nyaring dan penuh nada protes oleh peneroka Felda, malah pa­ling mengejutkan ia dibangkitkan oleh kumpulan yang sememangnya penyokong PH semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Sebagai rekod, gerakan kumpulan anti-Barisan Nasional di dalam Felda inilah yang mencatat sejarah dengan membawa 19 kawasan Felda berpaling kepada PH pada PRU-14.

KERTAS PUTIH

Selain itu, Kertas Putih yang akan dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelak tidak seharusnya hanya mendedahkan penyelewengan, tetapi warga Felda ingin melihat juga pelan dan tindakan segera pemulihan Felda.

Di luar konteks politik kepartian, secara umumnya ramai bersetuju bahawa masalah yang melanda Felda dan Felda Global Ventures Holdings (FGV) berada ditahap kronik. Kedua-dua entiti melakukan banyak keputusan buruk sejak tujuh tahun lalu.

FGV berfungsi sebagai penjana hasil utama kepada Felda menerusi pembayaran pajakan tanah RM250 juta, 15 peratus hasil dan dividen perladangan FGV. FGV memajak tanah dari Felda dan menerusi Perjanjian Pajakan Tanah 2012, FGV menguruskan 335,000 hektar tanah daripada 850,000 tanah yang dimiliki Felda.

Segala-galanya bermula de­ngan idea penyenaraian FGV pada 28 Jun 2012, ketika itu diisytiharkan sebagai proses penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Pada masa itu, harga pasaran FGV adalah sebanyak RM4.842 pada 6 Julai 2012. Hari ini, harga saham FGV hanyalah RM1.22 sesaham bermakna ia merudum teruk lebih 70 peratus. Modal pasaran adalah kira-kira RM20 bilion dan kini ia hanya bernilai RM4.086 bilion - susut teruk sebanyak RM15 bilion. Penurunan yang drastik ini menyebabkan FGV disingkirkan daripada se­narai indeks 30 FBM KLCI.

PENYENARAIAN

Sebelum penyenaraian 2012, Felda adalah syarikat perniagaan tani bertaraf global perdana yang merupakan model pembangunan tulen ‘Buatan Malaysia’, menjadi ikutan kepada negara-negara lain. Malah, Felda meraih pendapatan antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion daripada tanah ladang komersial dan dividen FHB sebanyak RM250 juta setahun yang membawa kepada rizab tunai Felda bernilai lebih RM4 bilion. Sekarang Felda berhutang RM9 bilion.

Daripada tempoh 2012 hingga 2017, Felda dan FGV bergelumang dengan khabar-khabar angin mendakwa berlaku per­belanjaan berlebihan, lemah pe­ngurusan dan banyak campur tangan politik dalam keputusan perniagaan.

Urus niaga pembelian ladang kelapa sawit PT Eagle High Plantation menjadi kontroversi kerana semua pihak berkaitan menyifatkan harga belian terlampau tinggi.

Begitu juga dengan urus niaga pengambilalihan loji mi­nyak di Amerika Syarikat, kilang kacang soya di Kanada, hotel mewah di United Kingdom serta pelan pengambilalihan lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras FGV.

Tidak hairanlah terdengar kisah ada ahli korporat yang terbatuk-batuk dan hampir pitam apabila ditawarkan tugas sebagai peneraju FGV. Mereka tahu penyakit di dalam FGV memerlukan bukan satu atau dua pembedahan. Mungkin kena dibuat pemindahan organ!

Beberapa penganalisis menggariskan faktor-faktor penyebab Felda dan FGV bermasalah:

Kepimpinan lemah. Gagal mendapatkan pemimpin kuat disebabkan campur tangan politik.

Moral dan keyakinan pelabur yang rendah.

Tadbir urus lembik. Keputusan buruk mengenai pelaburan dan pembuat keputusan membawa kepada strategi dan hasil yang tidak konsisten.

Tiada pertumbuhan akibat strategi lemah mengakibatkan kerugian besar dan peluang terlepas.

Faktanya kedudukan kewa­ngan Felda sangat lemah. Ia mencatat kerugian sejak IPO FGV pada 2012, dengan pinjaman terkumpul Felda dan Kumpulan masing-masing RM7.8 bilion dan RM12.14 bilion, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2017.

RUGI

Setakat 30 September 2018, segmen perladangan FGV mencatat kerugian RM838 juta. Bermakna Felda tidak menerima apa-apa dividen.

Felda memerlukan dana dianggarkan RM1.5 bilion untuk operasi tahunannya (RM640 juta) dan aktiviti pembiayaan (RM860 juta). Jelas, Felda memerlukan suntikan tunai baharu bagi membayar hutang dan memenuhi kewajipan terhadap para peneroka.

Model pembiayaan sedia ada kepada peneroka untuk menanam semula pokok dan belanja sosio-ekonomi tidak boleh dipertahankan dengan dana yang ada.

Apa yang nyata, tanpa kekuatan kewangan Felda tidak dapat memberi fokus kepada pene­roka yang berdepan dengan kos kehidupan tinggi dan beban hutang. Kitarannya ialah mereka tidak dapat meraih duit untuk membayar balik pinjaman daripada Felda.

IMPLIKASI

Felda dan FGV yang lemah akan menjejaskan keseluruhan nilai rantaian industri minyak sawit negara. Lebih memburukkan keadaan, aset strategik Felda dan FGV terdedah untuk diambil alih oleh entiti yang tiada peduli pun kepentingan nasional, apalagi melindungi kepentingan peneroka Felda.

SARANAN

Langkah yang boleh diambil sekarang ialah:

Jabatan Perdana Menteri menubuhkan petugas khas yang jujur, beramanah dan bebas politik untuk mengkaji dengan teliti isu-isu Felda tanpa prejudis apalagi takut untuk mendedahkan kepincangan sebenar dan mencadangkan kaedah penyelesaian terperinci, termasuk kaedah menambah pendapatan para peneroka.

Benarkan bekas pengurusan Felda yang berpengalaman dan terbukti berjaya dari 1980-an hingga 2009 seperti Tan Sri Yusof Nor dan Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali untuk membantu memulihkan Felda dan FGV.

Kaji semula Model Asal Perniagaan dan Matlamat Felda. Itulah resipi kejayaan.

Bekerja rapat dengan rakan strategik seperti Permodalan Nasional Berhad yang boleh memberi bantuan kewangan serta bimbingan kepakaran untuk memulihkan Felda dan FGV.

Perhalusi balik idea pencantuman semula Felda dan FGV, yang seterusnya boleh dikembangkan menjadi konglomerat sebenar perniagaan tani ‘Buatan Malaysia’ bertaraf global.

Paling mustahak, kerajaan perlu mengembalikan keyakinan umum terhadap Felda dan FGV daripada segi tanggungjawab fiskal, tadbir urus dan amalan pertanian yang betul.