Jumlah kehilangan kekayaan terbesar itu melibatkan 128 bilionair yang berada dalam kedudukan 500 Index Bilionair Bloomberg.

Ketegangan perdagangan global dan kebimbangan terhadap penilaian saham merupakan antara punca golongan tersebut mengalami kerugian. Sektor teknologi di China menjadi sangat sukar begitu juga di Korea Selatan dan India.

Menurut ahli ekonomi UBS Group AG, Philip Wyatt, kea­daan pasaran saham yang bergelut dengan prestasi dan ketidaktentuan menjadi cabaran besar kepada perniagaan. Bagaimanapun, beliau tidak melihat trend itu akan berterusan pada 2019 serta tiada kesan signifikan penurunan jumlah bilionair.

Pengasas JD.com, Richard Liu yang ditangkap kurang dari 24 jam di Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lalu merekodkan peratusan kehilangan kekayaan tertinggi dengan penurunan separuh daripada nilai harta kepada AS$4.8 bilion (RM20 bilion).

Sementara itu, 23 orang terkaya di India kehilangan kekayaan sebanyak AS$21 bilion (RM87.76 bilion). Taikun industri besi dunia, Lakshmi Mittal mendahului senarai dengan kerugian sebanyak AS$5.6 bilion (RM23.40 bilion) diikuti oleh pengasas Sun Pharmaceutical Industries, Dilip Shanghvi iaitu sebanyak AS$4.6 bilion (RM19.22 bilion).

Tujuh bilionair Korea Selatan kehilangan kekayaan bernilai AS$17.2 bilion (RM71.88 bilion) termasuk anak-beranak yang menguasai Samsung Electro­nics, Lee Kun-Hee dan Jay Y Lee.

Di sebalik penurunan kekayaan itu, terdapat beberapa individu yang berjaya meningkatkan harta mereka sepanjang 2018. Pengerusi Xiami Corp., Lei Jun menambah AS$8.7 bi­lion (RM36.36 bilion) dan berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 100 teratas Indeks Bilionair Bloomberg.

Individu paling kaya di Jepun, Tadashi Yanai menambah kekayaan AS$6.3 bilion (RM26.33 bilion) susulan nilai saham Fast Retailing Co. melonjak 30 peratus. Kekayaan Mukesh Ambani menokok AS$4 bi­lion (RM16.72 bilion) manakala Jack Ma muncul sebagai orang terkaya di Asia.

Sekurang-kurangnya enam bilionair Asia meninggal dunia pada 2018 dan meninggalkan harta kekayaan berjumlah AS$29 bilion (RM121 bilion). Antara bilionair yang meninggal dunia adalah bekas Pengerusi Sun Hung Kai Properties Ltd., Walter Kwok dan pengasas King Power Group yang juga pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha. – AGENSI