Tanpa punca pendapatan dan berdepan kos sara hidup tinggi serta menuntut pelbagai komitmen - hutang kereta, rumah, kad kredit dan perbelanjaan lain, pastinya satu cabaran getir yang perlu dilalui baik individu tertentu mahupun seluruh ahli keluarga.

Berdasarkan maklumat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kebanyakan mereka tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik dan akhirnya menyebabkan terjebak dengan tekanan kewangan.

Apatah lagi, Kementerian Sumber Manusia beberapa bulan lalu menunjukkan seramai 38,499 pekerja telah diberhentikan sepanjang tahun lalu berbanding 25,917 pekerja yang telah diberhentikan pada 2014, iaitu peningkatan seramai 12,582 pekerja.

Walaupun jumlah pemberhentian pekerja pada tahun lalu merupakan yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, statistik itu adalah lebih rendah berbanding yang direkodkan pada 2007, 2008 dan 2009 dengan masing-masing sebanyak 42,336; 47,145 dan 65,516 pekerja diberhentikan.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi bebas, Dr. Muham­med Abdul Khalid berkata, pasaran pekerjaan di negara ini dijangka kekal mencabar pada tahun depan selagi persekitaran ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya.

“Dalam usaha ke arah negara berpendapatan tinggi, didapati pekerja berkemahiran tinggi menunjukkan trend penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 25.7 peratus tahun lalu, manakala pekerja berkemahiran rendah pula semakin meningkat daripada 9.5 peratus kepada 15 peratus dalam tempoh sama. Isunya kini bukan dari segi keperluan menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi tetapi peluang pekerjaan,” ujarnya.

Walaupun hutang isi rumah mencecah 89.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi berdasarkan sistem data kewangan di Malaysia dalam tempoh 10 tahun, kebanyakan hutang isi rumah adalah aset nilai tambah berbanding aset bukan nilai tambah terutama pinjaman kereta yang menurun kepada 21 peratus tahun lalu berbanding 31 peratus pada 2005.

Menurut Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya, hasil kaji selidik itu harus dipandang serius kerana menunjukkan rakyat Malaysia secara dasarnya tidak bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila hilang sumber pendapatan dan dalam masa sama tiada simpanan mencukupi.

Jelasnya, sudah tiba masanya seseorang pekerja tidak boleh bergantung kepada jenis pekerjaan sahaja dengan tahap pendapatan yang tidak meningkat sebaliknya perlu melatih diri mereka supaya dapat meraih pendapatan lebih tinggi.

“Jadi, adalah penting untuk membuat simpanan dan melihat peluang untuk meningkatkan simpanan termasuk mengembangkan kemahiran supaya dapat memberi nilai tambah dan menjana pendapatan sekiranya hilang sumber pendapatan,” katanya dalam satu majlis anjuran AKPK baru-baru ini.