Menurut Pengasas Kedai Asia, Engku Isa Al-Husam, produk-produk tersebut ditempatkan di seksyen Kedai Asia Corner yang merupakan kerjasama antara syarikat Husam Waksa Sdn. Bhd. selaku pemilik tunggal kedai berkonsep Kedai Asia serta rakan kongsinya, Mohamad Nazeyh Qarah di Arab Saudi bersama Abraj Hypermarket iaitu anak syarikat Al Musbah.

“Kedai Asia Corner ini dimulakan dengan 100 jenis produk makanan dengan 20 peratus da­ripadanya adalah kategori industri kecil dan sederhana termasuk produk sejuk beku.

“Untuk permulaan, produk-produk ini ditempatkan di rak yang telah dikhaskan oleh pihak pengurusan Abraj. Pihak kami akan menambah bilangan produk mengikut fasa sehingga mencapai 500 SKU dan Kedai Asia dalam bentuk fizikal yang lengkap beserta dekorasi khas mengikut tema konsep Kedai Asia akan dilancarkan selepas Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sempena pembukaan Kedai Asia itu, turut dilancarkan program Malaysia Day, Beautiful Terengganu pada 26 April lalu bagi mempromosikan produk makanan Terengganu seperti keropok ikan, keropok lekor dan nasi dagang.

Malah, mereka turut melancarkan serentak menu baharu dengan kerjasama Felda Global Ventures Arabia Ltd. (FELME) melalui Malaysian Restaurant yang terletak di tingkat dua, Menara Safwah bersebelahan menara jam Mekah di Masjidil Haram.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELME, Syed Fadil Syed Sofi berkata, pihak­nya amat gembira dengan kerjasama tersebut kerana bukan mudah mendapatkan bahan masakan dari Malaysia dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Kami kini mudah mendapatkan bahan masakan dari Malaysia melalui syarikat Husam Waksa dan ini membolehkan kami memperbaiki perkhidmatan dan menawarkan kualiti makanan terbaik kepada para pelanggan khususnya jemaah dari Malaysia,” katanya.