Sistem keselamatan aktif pada jentera ini ialah Adaptive Cruise Control, City Safety de­ngan Front Collision Warning dan Pedestrian and Cyclist Detection dengan Full Auto Brake, Lane Departure Warning, Lane Keeping Aid, Blind Spot Information System (BLIS).

Ciri-ciri tersebut boleh diaktifkan melalui butang pada stereng. Misalnya Adaptive Cruise Control dengan Pilot Assist membolehkan jentera ini mengikut kelajuan kenderaan di hadapannya. Jika kenderaan di depannya berhenti, maka ia turut berhenti pada jarak yang ditetapkan.

Teknologi berguna

Sistem ini sangat berguna di Kuala Lumpur yang selalu sesak. Jadi penulis boleh merehatkan kaki tanpa perlu menekan brek dan minyak sentiasa. Namun terdapat sedikit kelemahan iaitu jarak antara kenderaan di hadapan agak luas memboleh­kan kenderaan mencelah memotong barisan. Sakit hati juga.

Bagi City Safety dengan Front Collision Warning pula, ia memberi amaran objek di hadapan kepada pemandu dan sekiranya tiada campur tangan, maka sistem itu akan membrek secara automatik. Ini memang beberapa kali mengejutkan penulis kerana tiba-tiba jentera berhenti. Panik juga dibuatnya.

Lane Keeping Aid pula akan membantu pemandu mengekalkan jentera di jalan raya. Jika jentera mahu terkeluar daripada garisan jalan, maka stereng akan membetulkannya untuk kembali dalam garisan. Lucu juga melihat stereng bergerak sendiri.

Tetapi kalau pemandu suka memotong di jalan raya atau memandu zig-zag, maka penat juga tangan mahu melawan stereng yang digerakkan oleh sistem komputer Lane Keeping Aid itu.

Seronok jika memandu dalam kesesakan jalan raya dengan sistem itu kerana boleh lepas tangan daripada stereng. Bolehlah melayan Facebook atau WhatsApp seketika ketika memandu.

Tetapi jangan amalkan kera­na ia menyalahi undang-undang dan boleh disaman maksimum RM600.

Varian

Volvo XC90 T5 atau nama penuhnya XC90 T5 AWD Momentum ini sebenarnya adalah vari­an yang paling rendah dalam kelasnya. Dua lagi varian yang lagi menarik ialah Volvo XC90 T8 Inscription dan T8 Inscription Plus. Kedua-dua abang T5 ini memang lagi hebat dari segi kuasanya dan kemasannya.

Jentera T5 ini menggunakan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 254hp @ 5,500rpm dan kilas maksimum 350Nm @ 1,500rpm - 4,800rpm. Kombinasi kuasa itu menghasilkan pecutan 7.9 saat untuk 100 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan maksimum 215 km/j.

Tahap penggunaan bahan api pula berada pada 7.9 liter bagi setiap 100 km dan boleh disifatkan sesuai untuk kenderaan sebesar ini yang mampu memuatkan 7 orang. Tak perlu beli van atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Kuasanya disalurkan melalui transmisi automatik 8 kelajuan daripada Aisin dengan pacuan semua roda (AWD). AWD ni memang sedap membelasah selekoh kerana cengkaman roda belakang yang lebih berbanding pacuan dua roda. Penggunaan rim 19 inci dengan tayar bersaiz 235/55 memang berbaloi.

Kemasan

Oleh kerana ia varian paling bawah, maka tidak banyak solekan menarik yang boleh menjadi faktor wow!

Ruang dalamannya masih elegan dengan papan pemuka kemasan Cross Brushed Aluminium. Tekstur jalur perak yang kemas dan bertindak balas dengan pencahayaan berkilat pada papan pemuka. Corong pen­dingin hawa diperkemas de­ngan bingkai perak. Tombol gear mendapat balutan kulit hitam yang harmoni dengan latar belakang kemasan dalaman.

Jentera ini dilengkapi juga dengan sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan inci dan sambu­ngan Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin infotainmen seperti sebuah tablet menegak ke atas. Terdapat 10 pembesar suara yang menghasilkan bunyi keli­ling dan berkualiti. Panel instrumen Adaptive Digital Display 12.3 inci dan pengawal pendi­ngin hawa dua zon.

Tempat duduk balutan kulit hitam jenis Comfort Seats yang memberi keselesaan pemanduan lama dan jauh. Ia mengikut garis kontur dan berseni yang sangat menarik.

Jalan raya

Menguji Volvo XC90 T5 AWD Momentum sangat mengujakan. Masih berkotak tetapi berseni. Dengan kuasa pecutan 7.9 saat untuk 100 km/j menunjukkan ia bukan jentera calang-calang hebatnya.

Setakat mencabar jentera yang sekelasnya ataupun kereta, masih boleh dianggap kerja mudah. Jentera ini menawarkan tiga mod pemanduan iaitu ECO (Ekonomi), Comfort (Selesa) dan Dynamic (Dinamik). Setiap mod pemanduan ini akan mengubah cara jentera ini mengharungi jalan raya. Ini tidak termasuk off road.

Pemanduan Dynamic akan memberi lebih banyak kuasa dan menghasilkan karektor `kasar’. Tekan minyak sahaja anda akan merasakan kuasa lonjakannya berbanding de­ngan mod ekonomi. Kawalannya agak keras dalam mod Dynamic.

Seperti yang penulis nyatakan pada pembukaan ayat untuk artikel ini, Volvo adalah jentera yang seronok dipandu. Walaupun ia varian yang pa­ling bawah, tetapi ciri-ciri keselamatannya paling teratas dan terbaik berbanding pesaingnya.

Anda tidak perlu risau de­ngan Volvo kerana ia masih tidak dapat lari daripada falsafah pembinaannya iaitu ‘Volvo Untuk Kehidupan’.

Volvo XC90 T5

Enjin: 
2.0 liter turbo

Kuasa maksimum: 
254hp @ 5,500rpm

Kilas maksimum: 
350Nm @ 1,500rpm - 4,800rpm.

Transmisi: 
8 kelajuan automatik

Pecutan 0-100km/j:
 7.9 saat

Kelajuan 
maksimum: 
215 km/j

Penggunaan 
minyak:
 7.9/100 km

Harga bermula dari: 
RM373,888