Ketua Pengarah Jabatan rundingan Perdagangan, Sirinart Jaimun berkata, Thailand akan memperoleh pelbagai manfaat jika menyertai perjanjian perdagangan pelbagai hala itu.

“TPPA akan membantu menggalakkan pertumbuhan sektor kenderaan, elektronik, komputer, pakaian dan tekstil. Ia juga akan meningkatkan pembangunan sektor perdagangan dan perkhidmatan selain perlindungan alam sekitar dan standard buruh,” katanya dipetik sebagai berkata dalam media tempatan hari ini.

KDNK katanya, mampu berkembang 1.06 peratus lagi jika negara lain di rantau ini, termasuk Indonesia dan Filipina, turut serta.

Kajian itu dijalankan oleh Panyapiwat Institute dan International Institute for Trade and Development bagi membincangkan pro dan kontra penyertaan dalam TPPA.

Kajian itu katanya, turut mendapati TPPA akan meningkatkan peluang untuk syarikat Thailand di luar negara.

“Ia juga akan menggalakkan kesedaran yang lebih tinggi ke atas hak harta intelek, yang menjurus kepada perlindungan lebih ketat selain menyokong inovasi dan penyelidikan serta pembangunan baharu dalam teknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyerahkan keputusan kajian itu kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada menyertai perjanjian yang diketuai Amerika Syarikat (AS) itu.

Jabatan berkenaan katanya akan menganjurkan pendengaran awam bagi mengumpul pandangan daripada semua pihak sebelum menyerahkan kajian berkenaan kepada pembuat dasar.

Anggota TPPA terdiri daripada Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam, New Zealand, Australia, Kanada, AS, Chile, Peru dan Mexico.

Pakatan itu akan ditandatangani di New Zealand pada 4 Februari 2016. – BERNAMA