Kedua-dua elemen tersebut adalah laporan kemajuan dalam tempoh dua tahun pertama negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan hala tuju dan dasar ekonomi negara berdasarkan manifesto kerajaan baharu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika memaklumkan perkara tersebut berkata, kesemua perkara itu sedang diteliti dengan terperinci oleh Unit Perancang Ekonomi untuk dibentangkan dalam kajian separuh penggal RMK-11.

"Pembentangan kajian separuh penggal kali ini agak unik kerana ia bukan sahaja membentangkan pres­tasi ekonomi negara dalam tempoh lima tahun pertama tetapi RMK-11 melibatkan kerajaan baharu PH yang dibentuk selepas 11 Mei lalu.

"Jemaah menteri telah bersetuju supaya kementerian membentangkan kajian separuh penggal mengan­dungi dua pendekatan iaitu pertama, kita akan terus beri laporan kemajuan dalam tempoh dua tahun pertama manakala strategi kedua kita akan buatkan strategi baharu dalam menentukan dasar ekonomi negara berdasarkan manifesto PH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan sesi pemukiman keenam sempena Me­syu­arat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) peringkat Menteri ke-24 di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari; Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution dan Menteri Pengangkutan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith.

Mesyuarat tersebut membabitkan penyertaan seba­nyak 224 delegasi termasuk pemimpin dan menteri dari ketiga-tiga negara dan berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerjasama erat antara negara anggota IMT-GT itu berupaya melangkau misi ke hadapan terutama apabila berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 akan datang.

Katanya, Malaysia sedia bekerjasama dengan kedua-dua negara bagi memastikan keadaan ekonomi serantau terus stabil dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

Selain itu katanya, ketiga-tiga negara berkenaan juga tidak akan bersaing sesama sendiri namun saling melengkapi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di ketiga-tiga negara dapat membantu rakyat masing-masing menjelang 2036.