Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, kadar sewaan pejabat di Kuala Lumpur kekal di bawah tekanan dengan pemilik hartanah bersaing menarik penyewa baharu dan pada masa sama mengekalkan penyewa sedia ada.

Menurut beliau, sewa pejabat di ibu negara menyaksikan penurunan marginal pada suku kedua.

“Ruang pejabat di Kuala Lumpur berdepan pertambahan bekalan susulan banyak pembinaan baharu yang sedang rancak dibangunkan. Keadaan ini memberikan tekanan yang berterusan terhadap kadar sewa,” katanya di sini hari ini.

Indeks Sewa Pejabat Utama Knight Frank’s Asia Pacific mendedahkan sebanyak 14 bandar mencatatkan kadar sewa yang stabil atau meningkat berbanding 15 bandar pada suku pertama tahun ini.

Situasi itu menunjukkan bahawa kebanyakan pasaran kekal stabil.

Secara keseluruhannya, pasaran sewaan pejabat di rantau Asia Pasifik menunjukkan sedikit pemulihan pada suku kedua apabila meningkat 0.9 peratus suku ke suku.

Menurut Knight Frank, kebanyakan pasaran pejabat di Asia Pasifik kekal stabil atau menunjukkan pertumbuhan.

“Sydney dan Singapura ma­sing-masing mencatatkan pertumbuhan 1.3 peratus dan 0.9 peratus manakala Hong Kong susut satu peratus dan Shanghai (-1.1 peratus).

“Tokyo mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.9 peratus suku ke suku yang sebahagian besarnya disebabkan bekalan ruang pejabat yang terhad,” katanya.