Pengarah Eksekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Hektar REIT, Datuk Hisham Othman berkata, berdasarkan laporan tahunan Hektar Reit 2018, kadar penghunian Subang Parade menurun kepada 88 peratus sementara jumlah pengunjung jatuh sebanyak 21 peratus berikutan proses peningkatan aset dan penambahbaikan.

Menurut beliau, keadaan itu telah dijangka dan optimis kadar penghunian dan kedata­ngan pengunjung akan kembali melonjak selepas semua kerja tersebut selesai.

“Subang Parade merekodkan 85.5 peratus kadar penghunian pada suku pertama tahun ini. Kadar penghunian adalah rendah berbanding sebelumnya kerana kami melakukan pe­ningkatan aset dan terpaksa melepaskan beberapa penyewa bagi menambah baik pusat beli-belah ini.

“Kami melihat ini sebagai kesan sementara. Pengubahsuaian sangat diperlukan untuk Subang Parade walaupun kadar penghuniannya amat tinggi sejak 10 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hisham, pengubahsuaian utama Subang Parade dijalankan 12 tahun lalu dan disebabkan itu pengubahsuaian perlu dilakukan.

Katanya, kerja-kerja peng­ubahsuaian melibatkan pe­ningkatan aset melalui penambahbaikan campuran penyewa dan juga mengganti sesetengah penyewa lama kepada penyewa baharu dengan konsep terkini.

“Perniagaan runcit melalui kitaran kerana trend pengunjung sentiasa berubah, jadi pusat beli-belah juga mesti berubah untuk kekal relevan dengan keadaan semasa. Kami tidak terburu-buru untuk melakukan kerja pengubahsuaian.

“Perancangan kami adalah untuk menggunakan sepenuhnya tahun ini bagi menyelesaikan kerja peningkatan aset. Kami memutuskan untuk mengambil sedikit masa dan menjadi lebih selektif dalam mencipta campuran penyewa yang tepat,” ujarnya.

Subang Parade masih kekal sebagai aset utama dan menyumbang 32 peratus daripada pendapatan kasar kepada portfolio syarikat.