Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi bulan tersebut, Malaysia merekodkan nilai eksport sebanyak RM84.79 bilion, berkembang 1.6 peratus tahun ke tahun manakala import meningkat lima peratus kepada RM77.24 bilion.

Beliau berkata, pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport ke Taiwan iaitu sebanyak RM1.1 bilion, Vietnam (RM938.5 juta), Hong Kong (RM876.8 juta), Singapura (RM872.2 juta) dan China (RM435.3 juta), manakala kenaikan import yang tinggi adalah dari Kesatuan Eropah (RM773.3 juta), Arab Saudi (RM581.8 juta), Korea Selatan (RM456.8 juta), Persekutuan Rusia (RM411.4 juta) dan Taiwan (RM409.4 juta).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan, eksport dan import, masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 8.2 peratus 12 peratus dan 3.5 peratus, manakala lebihan dagangan berkurang sebanyak 53.7 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE