Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam Laporan Tahunan 2018 berkata, sebahagian besar sumber dana di bawah pengurusan adalah daripada dana unit amanah (RM426.18 bilion), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM112.13 bilion), badan korporat (RM73.11 bilion), dan dana borong (RM64.95 bilion).

Pada 2018, dana unit amanah terus menjadi komponen terbesar industri skim pelaburan kolektif (CIS) Malaysia dengan jumlah nilai aset bersih (NAV) sebanyak RM426.18 bilion dicatatkan pada 31 Disember 2018 daripada RM426.98 bilion pada 2017.

Jumlah nilai aset bersih industri dana unit amanah dari segi peratusan permodalan pasaran Bursa Malaysia adalah sebanyak 25.06 peratus pada 31 Disember 2018 berban­ding 22.39 peratus pada 2017, manakala 37 syarikat pengurusan yang diperbadankan di Malaysia diberi kelulusan untuk menawarkan dana unit amanah pada 2018.

“Industri dana unit amanah mencatatkan jumlah nilai jualan kasar sebanyak RM204.97 bilion dan syarikat pengurusan unit amanah merupakan pengedar utama dengan jualan berjumlah RM87.57 bilion pada 2018,” kata suruhanjaya itu.

Setakat 31 Disember 2018, SC berkata, jumlah dana unit amanah tersedia untuk pelabur adalah 650. Daripada jumlah tersebut, 426 dana adalah dana unit amanah konvensional (431 pada 2017) manakala 224 adalah dana unit amanah patuh syariah (213 pada 2017).

Mengenai amanah pelaburan hartanah (REIT), SC berkata, terdapat 18 amanah pelaburan hartanah (REIT) tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan jumlah permodalan pasaran (termasuk kumpulan terikat) sebanyak RM41.43 bi­lion setakat hujung 2018 daripada RM46.48 bilion pada tahun lepas.

Bagi dana Skim Persaraan Swasta (PRS), ia kekal dengan 12 skim yang terdiri daripada 56 dana pada 31 Disember 2018, yang mana 31 adalah dana konvensional manakala 25 adalah dana patuh syariah.

“Jumlah NAV industri sebanyak RM2.68 bilion pada 31 Disember 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 20.18 peratus berbanding jumlah NAV sebanyak RM2.23 bilion pada 2017,” kata suruhanjaya itu.

Bagi waran berstruktur, sebanyak 1,037 kertas terma bagi penawaran waran berstruktur didaftarkan pada 2018 daripada 925 pada 2017, disebabkan oleh terbitan aktif oleh penerbit bagi memenuhi minat pelabur dalam tahun berkenaan. – BERNAMA

Mengenai produk berstruktur, SC berkata, sebanyak 16 penerbit menyerahkan 21 program produk berstruktur baharu kepadanya di bawah Rangka Kerja Kemuka dan Lancar (LOLA) bagi produk pasaran modal tidak tersenarai, meningkat daripada sembilan penerbit yang menyerahkan 20 program pada 2017.

“Program tersebut terdiri daripada pelbagai jenis rujukan pendasar dan mempunyai saiz agregat sebanyak RM100.05 bilion (RM100 bilion pada 2017), dengan setiap program mempunyai had saiz sehingga RM5.0 bilion,” kata suruhanjaya itu. – BERNAMA