Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh kenaikan dalam produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (7.5 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (6.7 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.8 peratus).

Beliau berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan bagi bulan yang dikaji adalah sebanyak 1,087,774 orang, meningkat sebanyak 1.7 peratus atau 18,364 orang berbanding 1,069,410 orang pada tahun sebelumnya.

“Sementara gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM3.99 bilion, naik sebanyak 4.4 peratus atau RM169.5 juta pada April 2019 berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat lima peratus kepada RM64,300 berbanding pada bulan yang sama pada 2018 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,673 pada April 2019.

Beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan bagi tempoh Januari hingga April 2019 merekodkan pertumbuhan 6.2 peratus kepada RM280.6 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2018.

“Bilangan pekerja bagi tempoh tersebut meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 1,087,774 orang, manakala gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan 6.4 peratus kepada RM16.2 bilion,” katanya. - BERNAMA