Menurut Bloomberg yang me­metik laporan itu, tindakan Malaysia yang mengenakan harga yang tinggi terhadap rokok menyebabkan perokok beralih kepada pilihan yang le­bih murah di pasaran gelap.

“Situasi itu menyebabkan kerugian cukai tidak dibayar sebanyak RM13.5 bilion kepada kerajaan sejak Malaysia menaikkan duti eksais rokok pada 2015,” katanya.

Kementerian Kewangan ti­dak menjawab dengan segera terhadap kerugian yang dinyatakan tersebut.

Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk membendung penyakit berkaitan rokok se­perti kanser dan kardiovaskular yang merupakan punca utama kematian pramatang di negara ini.

Pada 2015, kira-kira 22.8 peratus rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, menurun sedikit berbanding 23.1 peratus pada 2011.

BAT Malaysia telah lama berkempen terhadap kenaikan cukai dengan memberi amaran bahawa ia hanya menambahkan lagi kesan buruk daripada perdagangan tembakau haram.

Keadaan itu menjadi punca utama penyusutan dalam jumlah jualannya.

Hasil syarikat itu jatuh 3.2 peratus pada 2018 ekoran penurunan jualan rokok dan kontrak pembuatan selepas penutupan kilangnya berhampiran Kuala Lumpur.

Pesaingnya, Japan Tobacco Inc. menutup kilangnya di Malaysia pada 2017 dan membeli kepentingan dalam pengeluar di Indonesia dan Filipina pada tahun yang sama.

Kajian yang disahkan oleh BAT itu menunjukkan 598 juta pek rokok di Malaysia pada tahun lalu adalah daripada pasaran gelap. Hampir separuh daripadanya diperoleh melalui penyeludupan dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam kerana harganya yang murah.

Ini termasuk rokok kretek yang dibungkus dengan setem cukai palsu. – AGENSI

Penjualan tembakau haram

Asia Tenggara tertinggi

l 59 peratus

Kerugian kepada Malaysia

l RM13.5 bilion sejak duti eksais rokok dinaikkan pada 2015

Perokok

l Pada 2015, 22.8 peratus rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok menurun sedikit berbanding 23.1 peratus pada 2011

Kajian British American Tobacco (BAT)

l Mendapati 598 juta pek rokok di Malaysia pada tahun lalu adalah pasaran gelap

(SUMBER : laporan Oxford Economics yang disahkan oleh BAT)