MIDF Research dalam laporannya berkata, jualan bersih a­sing yang diukur pada Isnin lepas adalah RM12.6 juta sebelum dana antarabangsa itu pulih pada Selasa dengan perolehan bersih RM149.8 juta.

“Pada pandangan kami kemasukan dana asing ke Bursa Malaysia pada Selasa lalu adalah di­sebabkan oleh penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 3.25 peratus kepada tiga peratus oleh Bank Negara Malaysia bagi merangsang aktiviti pelaburan dan perbelanjaan domestik,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, MIDF berkata, pelabur asing kembali dalam mod jualan pada Rabu dengan menjual RM75.1 juta kerana bimbang terhadap ketegangan perang daga­ngan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Jelasnya, kebimbangan itu te­rus mendorong jualan asing me­ningkat kepada RM382.5 juta pada Khamis yang merupakan jumlah tertinggi dalam sehari setakat ini.

“Kebimbangan terus meningkat menjelang tarikh akhir pada Jumaat apabila AS meningkatkan tarif daripada 10 peratus kepada 25 peratus terhadap barangan China bernilai AS$200 bilion (RM832.50 bilion),” katanya.

Mengenai perbandingan serantau, MIDF berkata, aliran keluar bersih asing itu selaras dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Taiwan.

Katanya, dana antarabangsa masih menjual ekuiti tempatan pada Jumaat, tetapi pada kadar lebih perlahan iaitu RM130.5 juta dengan rundingan dagangan pertama antara AS dan China tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

“Bagi asas bulanan, Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM527.4 juta pada bulan ini. Jumlah itu menjadikan aliran keluar bersih asing setakat ini sebanyak RM3.28 bi­lion.

Nilai Dagangan Purata Harian (ADTV) pelabur asing mencatatkan penurunan 4.7 peratus pada minggu lepas, namun masih kekal pada paras yang sihat di atas RM1 bilion iaitu pada RM1.18 bilion.