Menurut laporan Bloom­berg, berdasarkan data yang dike­luarkan Bursa Malaysia pergerakan purata lima hari bagi aliran keluar asing semakin perlahan kepada AS$26 juta (RM108.55 juta) berbanding purata 20 hari aliran keluar sebanyak AS$29.2 juta (RM121.92 juta).

Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia meningkat 0.5 peratus minggu lalu dan ringgit mengukuh sebanyak 0.3 peratus kepada paras RM4.1838 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Petang ini, indeks FBM KLCI kekal di bawah paras 1,600 mata apabila susut 8.16 mata kepada 1,594.59 mata. Ia me­nyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 447 berbanding 318 dengan 405 kaunter tidak berubah.

Bagi prestasi ringgit pula, ditutup pada RM 4.1770 berbanding dolar AS.

Penganalisis Hong Leong IB Research berkata, ketegangan perdagangan yang tidak dapat diselesaikan di antara AS dan China, ditambah dengan kebimbangan kemelesetan ekonomi berikutan langkah menurun dalam hasil perbendaharaan baru-baru ini mungkin akan melemahkan sentimen pasaran, yang membatasi potensi peningkatan pasaran pada akhirnya.

"Para pelabur juga memberi fokus kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang untuk mengukur prospek kadar faedah masa depan untuk sepanjang tahun.

"Di bursa tempatan, kami percaya pemulihan teknikal mungkin masih kukuh memandangkan KLCI terlalu oversold seperti yang dilihat dalam petunjuk momentum.

"Selain itu, para pelabur boleh mencari peluang dalam saham-saham syarikat teknologi yang kini menurun sebelum pengumuman keputusan kewangan masing-masing menjelang akhir Ogos," katanya.

Hong Leong IB Research menjangkakan bursa saham tempatan mungkin meningkat kepada paras 1,620 mata dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Berhad meng­unjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menyederhana pada suku ketiga tahun ini dan untuk suku seterusnya sehingga 2020.

Katanya, kebimbangan utama kekal pada persengketaan perdagangan AS-China yang telah meningkat ke tahap baharu susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengenai tarif 10 peratus ke atas baki AS$300 bilion (RM1.2 trilion) import China yang akan dikenakan pada 1 September dan 15 Disember.

Ini kemudian diikuti oleh timbal balas China melalui penurunan nilai mata wang RMB ke paras di bawah 7.0 setiap dolar AS.

Faktor-faktor luaran ini, jelas firma penyelidikan itu, akan mempengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia, namun sebahagiannya diseimbangkan dengan aktiviti domestik, terutama melalui pemulihan projek infrastruktur mega yang akan memberi limpahan kepada aktiviti sektor swasta.

"Mengambil kira latar belakang ini dan pertumbuhan KDNK yang lebih baik pada suku kedua 2019, kami menye­mak semula unjuran bagi pertumbuhan suku ketiga kepada 4.4 peratus berbanding 4.2 peratus yang dibuat sebelum ini.

"Bagi suku keempat 2019, kami mengunjurkan ekonomi negara menyusut kepada empat peratus berbanding 4.7 pera­tus dan unjuran penuh 2019 juga disemak semula pada 4.5 peratus berbanding 4.7 yang dicatat pada 2018. Untuk 2020 pula, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi berada pada paras empat hingga 4.5 peratus," katanya.