Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sejak Pelan Pembangunan Bioteknologi dan Biodiversiti diperkenalkan pada tahun 2005, negeri ini hingga hari ini terus menerima pelabur dalam bidang berasaskan bio.

Menurutnya, setakat bulan ini sebanyak 33 syarikat berasaskan bio termasuk 23 syarikat berstatus BioNexus, 10 projek di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) dan sebuah syarikat berimpak tinggi bertapak di negeri ini.

Beliau berkata, 10 projek BTP itu dijangka menyumbang pelaburan dianggarkan berjumlah RM1.93 bi­lion menjelang tahun 2020.

“Kita percaya pelaburan berasaskan bio akan terus berkembang di Johor, malah pembukaan kilang oleh syarikat besar seperti Verdezyne Inc. (Verdezyne) diyakini mampu menarik lebih banyak pemain global dalam bidang tersebut,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembukaan Kilang VerdePalm oleh Verdezyne di BioXcell Park, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhira; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Verdezyne, Chad Waite.

Kilang VerdePalm yang dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 18 bulan bakal menghasilkan asid dodecanedioic (DDDA) berasaskan bio yang pertama seumpamanya di dunia, merupakan kerjasama antara Sime Darby Bhd., dan Verdezyne.

Mohamed Khaled berkata, pembukaan kilang oleh syarikat dari Amerika Syarikat itu dijangka mampu meletakkan Bio-Xcell di peringkat global, sekali gus menarik lebih banyak pemain utama industri berasaskan bio ke negeri ini.

Katanya, hingga kini Bio-Xcell berjaya menerima pelaburan bernilai RM3.08 bilion dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.02 bilion berjaya direalisasikan.