LifeMed merupakan satu konsep sistem pemeriksaan kesihatan jarak jauh dan pemantauan (RHDMS) yang membolehkan pesakit mengurus penyakitnya termasuk darah tinggi dan diabetis dengan lebih baik sementara pihak perubatan dapat memantau keadaan pesakit mereka.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, inisiatif itu disasarkan untuk membawa nilai tambah kepada pihak penyedia-penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi memantau pesakit mereka sepanjang masa.

"LifeMed berguna terutama kepada golongan yang kerap bergerak (frequent travellers). Mereka dapat mendapatkan bacaan kesihatan di mana-mana sahaja. Doktor dan pesakit boleh mendapat akses rekod kesihatan pesakit atau bacaan penting global pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik antara N2W Corporation Sdn. Bhd. dan Smartmed Global Limited (Smartmed) di sini hari ini.

LifeMed adalah penyelesai­an yang mengintegrasikan tiga komponen utama iaitu peranti perubatan gred klinikal, aplikasi mudah alih dan portal untuk kegunaan doktor serta pesakit.

Peranti perubatan digunakan untuk mengambil bacaan kesihatan seperti tekanan darah serta kadar glukosa dalam darah dan seterusnya data itu akan dipindahkan ke aplikasi mudah alih menggunakan teknologi bluetooth.

Data kesihatan itu kemudiannya akan dihantar ke portal LifeMed berasaskan awan de­ngan sambungan internet sementara itu, portal akan diakses oleh doktor dan pasukan klinikal untuk memantau kesihatan pesakit dari jarak jauh.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif N2W Corporation Sdn. Bhd., Azryain Borhan menambah, syarikat usahasama antara N2W Corporation Sdn. Bhd. dan Smartmed iaitu Newave Health Sdn. Bhd. akan menggerakkan perniagaan berkenaan di hospital-hospital swasta termasuk di bawah KPJ Healthcare Bhd. (KPJ) dan seterusnya ke hospital-hospital awam.

“Dalam tahun-tahun ini kita fokus kepada pasaran Malaysia tetapi dalam masa sama akan memanfaatkan kehadiran kita di Bangladesh dan Indonesia. Kita juga turut melihat negara-negara jiran serta pasaran dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif N2W Corporation Sdn. Bhd., Rizatuddin Ramli berkata, Newave Health Sdn. Bhd. akan digerakkan dengan modal sebanyak RM20 juta iaitu masing-masing dari N2W Corporation (60 peratus) dan Smartmed (40 peratus).