Putrajaya 20 Ogos 2014Caption:Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
MOHD. IRWAN SERIGAR ABDULLAH

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, jawatankuasa berkenaan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa akan menga­wal selia dan memperhalusi setiap inisiatif ber­kenaan dalam usaha memastikan perkara tersebut berjalan dengan teratur.

Menurut beliau yang juga akan terlibat secara langsung sebagai timbalan, jawatankuasa ber­kenaan juga akan bekerjasama rapat de­ngan agensi dan orga­nisasi yang mendapat pelbagai faedah menerusi Bajet 2018, ma­lah ada beberapa inisiatif yang diumumkan telah pun mula dilaksanakan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan jawatankuasa ini untuk memantau semua agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek atau program yang dinyatakan dalam Bajet 2018 berjalan seperti yang dirancang.

“Bukan itu sahaja, jawatankuasa ini juga akan mengurus dan menilai kesemua kos yang ditanggung adalah efisien dalam kadar minimum supaya impak yang tinggi dapat dinikmati rak­yat,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Pasca Bajet 2018: Membentuk Masa Depan anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pre­siden MEA, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

Dialog ber­kenaan menampilkan empat orang ahli panel iaitu Pengerusi Ekseku­tif Kumpulan Axcelasia Taxand Sdn. Bhd., Dr. Veerinderjeet ­Singh; Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram; Pengurus Besar Pasaran Modal dan Ekonomi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein serta Penyelidik Kanan Institute Pengajian China, Universiti Malaya, Dr. Cheong Kee Cheok.

Mengulas lanjut, Mohd. Irwan Serigar berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan, Jumaat lalu merupakan bajet yang bersifat holistik dan komprehensif.

Katanya, Bajet 2018 juga me­rupakan belanjawan yang menyatakan kehendak rak­yat dalam memastikan ke­sejahteraan sosio­ekonomi terjamin.

“Saya merasakan bajet kali ini merupakan bajet menyeluruh yang meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat di sam­ping menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Bajet kali ini juga menyaksikan pelbagai langkah diambil dalam usaha kita memastikan ekonomi negara terus berkembang positif, pada tahun ini mencapai 5.2 hingga 5.7 peratus manakala tahun hadapan pula dijangka lima hingga 5.5 peratus.

“Atas dasar itulah, kita harus pastikan setiap program yang terkandung dalam Bajet 2018 ini dilaksanakan de­ngan tepat dan pada masa yang ditetapkan,” ujar beliau.