Menurut Invest Selangor, objektif utama majlis ini dianjurkan adalah bagi memberikan penghargaan serta merapatkan hubungan dua hala di antara pihak kerajaan negeri Selangor dan Invest Selangor bersama rakan media yang telah membuat liputan berita dalam mempromosikan usaha-usaha menarik pelaburan ke negeri itu.

“Ini merupakan satu penghargaan dari Kerajaan negeri Selangor dan Invest Selangor kepada media cetak, media elektronik atau media digital atau online yang telah banyak memberikan sumbangan dan impak yang positif di dalam usaha-usaha mempromosikan pembangunan ekonomi kepada negara Malaysia secara amnya dan negeri Selangor khasnya.

“Peranan dan sumbangan pihak media adalah penting dan amat diperlukan bagi menyebarkan maklumat dan berita terkini bukan sahaja di dalam negara bahkan ke seluruh dunia,” kata Invest Selangor dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Pada majlis itu, rakan-rakan media konglomerat turut diraikan dengan penerimaan Trofi Anugerah Khas bagi kategori Rakan Media Invest Selangor Bhd., dan juga sijil penghargaan kepada 11 ketua biro media negeri Selangor yang banyak membantu mempromosikan aktiviti-aktiviti berkaitan pelaburan di negeri itu.

Invest Selangor selaku sebuah agensi milik penuh kerajaan Selangor yang bertanggungjawab sebagai pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan di dalam negeri Selangor bagi pelaburan sedia ada dan yang berpotensi ini, turut menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-20 pada 1 Jun lalu.

Sambutan ulang tahun itu turut diraikan dengan pelancaran buku iaitu Photobook Invest Selangor Celebration 20 Golden Years pada malam berkenaan. -UTUSAN ONLINE