Lexus merupakan kende­raan jenama mewah yang pada sejarah awalnya adalah untuk kenderaan premium dari Toyo­ta untuk pasaran negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS). Tapi itu kisah lama.

Kini Lexus telah dipasarkan di seluruh dunia dan ia adalah jenama mewah. Tak percaya? Kalau tidak percaya, pergi sahaja ke pusat pamerannya dan memang nampak seperti Lounge Kelas Perniagaan kalau mahu disamakan dengan status syarikat penerbangan.

Dan untuk rekod, inilah juga kali pertama penulis diberi ke­sempatan menguji kenderaan Lexus. Model yang diuji ialah model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah iaitu Lexus NX300 2019.

Oleh kerana ia sebuah pandu uji yang mengambil masa dalam beberapa jam sahaja, jadi tak banyak yang penulis dapat huraikan dengan lebih terperinci tentang model mewah ini.

Lexus NX terbaru ini diba­ngunkan menggunakan konsep teras Premium Urban Sport Gear, pendekatan terbaharu yang diterapkan Lexus bagi model-model SUV mewah gene­rasi akan datang.

Ia dilengkapi dengan teknologi canggih, prestasi terbaik ke atas persekitaran serta ciri-ciri khas kenderaan Lexus yang diperhalusi.

Ketika memperkenalkan Lexus NX 2019, Timbalan Pengerusi Lexus Malaysia, Akio Takeyama berkata, model terbaharu ini akan terus berada dalam pasaran SUV mewah di Malaysia. Ia tidak hanya menampilkan rekaan yang menonjol yang kompleks serta prestasi pemanduan yang sepadan, tetapi kini turut hadir dengan tahap keselamatan yang tinggi.

Ciri keselamatan utama

Keselamatan kekal menjadi teras penawaran yang penting bagi model baru ini. Lexus NX kini hadir dengan ciri Lexus Safety System + (LSS +), sebuah sistem menyeluruh yang pertama kali ditawarkan pada mana-mana model Lexus setakat ini.

Ciri utama pada LSS+ termasuk Sistem Prapelanggaran (PCS) dengan Bantuan Brek Prapelanggaran, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA). NX baharu ini juga dilengkapi ciri Bantuan Belokan Aktif (ACA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) canggih yang boleh mengubah kelajuan untuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan.

Ia juga tidak hanya berkesan ketika kenderaan bergerak, sebaliknya turut berfungsi sehingga 0 km/j, membolehkan­nya membantu pemandu dalam keadaan trafik sesak dalam bandar tanpa memerlukan apa-apa input daripada pemandu sendiri.

Lain-lain ciri keselamatan yang tersedia termasuk Amaran Sokongan Parkir dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS) yang dapat membantu mengelakkan silau pada kenderaan dari arah bertentangan.

NX300 F-Sport pula dilengkapi dengan sistem Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS), sementara NX300 Premium turut mempunyai ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dan sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Lexus NX baru ini mempunyai lapan beg udara SRS yang dipasang pada kabinnya untuk perlindungan pasif bagi semua penumpang. Selain itu, tapak ISOFIX untuk kerusi keselamatan kanak-kanak juga mudah dikesan dan digunakan, tersedia pada tempat duduk barisan kedua.

Gril spindle

Oh, gril spindle rupanya. Ingatkan macam mulut Predator. Sebenarnya gril spindle adalah rekaan khusus bagai jenama Lexus. Lexus NX 2019 kekal dengan tema rekaan Urban Sport Gear, dengan lampu isyarat berturutan baru pula menyumbang kepada penampilan terkini yang lebih dinamik.

Selain itu, Lexus NX300 F-Sport juga menggunakan rekaan gril sama, tetapi dalam warna hitam seperti yang ada pada model Lexus RC-F serta menampilkan corak F-mesh eksklusif untuk model F-Sport.

Kedua-dua Lexus NX300 Urban dan NX300 Premium menggunakan rim 18-inci aloi dengan dua tona warna premium. Bagi Lexus NX300 F-Sport, walaupun rim yang digunakan sama saiz, ia menerima kemasan penyudah Dark Premium Metalik eksklusif de­ngan saiz tayar yang lebih lebar 235/55R18 yang menyumbang kepada pemanduan lebih dinamik.

Model ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol (8AR-FTS) yang menghasilkan kuasa maksimum 235hp @ 4,800rpm - 5,600 rpm, sementara kuasa kilas ialah 350 Nm @ 1,650rpm - 4,000 rpm.

Ia digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan berturutan (6 Super ECT) dengan kawalan Torque Demand, memberikan maklum balas dan kuasa memecut yang lebih lancar.

Sistem G-Force Artificial Intelligence (G-AI) pula memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan de­ngan cara membantu memilih kedudukan gear optimum dan corak menurunkan gear sebagai maklum balas kepada G-force semasa pemanduan.

Model ini turut dilengkapi dengan ciri pacuan semua roda (AWD) Kawalan Kilas Dinamik bagi memberikan prestasi pemanduan yang optimum serta kestabilan kawalan dan penjimatan penggunaan bahan api.

Pemandu juga boleh memilih antara mod pemanduan yang terdiri daripada Normal, ECO dan Sport melalui tombol Drive Mod Select di tengah konsol. Pada varian NX300 F-Sport, mod tambahan Sport S+ turut tersedia, memberikan prestasi pemanduan yang lebih sporty dengan ciri Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS).

Kemasan dalaman premium

Memperkayakan lagi imej SUV crossover moden padanya, bahagian dalaman Lexus NX menggabungkan perwatakan rekaan dan tatarias yang praktikal. Diperhalusi sama seperti pada model Lexus yang lain, NX akan menarik perhatian sesiapa saja terhadap material berkualiti tinggi serta ketelitian buatan yang ditampilkannya.

Ruang dalaman disempurnakan lagi dengan kedudukan suis dan butang kawalan yang mudah dicapai. Pusat kawalan sistemnya terletak pada panel paparan lapan inci yang ada di tengah. Antara muka Sentuhan Jauh (RTI) pula telah berkembang dan menjadi lebih mesra pengguna.

Keseluruhannya terdapat tujuh pilihan warna bagi Lexus NX300 2019, termasuk Blazing Carnelian, Amber CS, Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black GF, Red MC CS dan Sparkling Meteor ME. Bagi NX300 F-Sport pula, ia turut ditawarkan dalam warna khas Heat Blue CL atau Lava Orange CS.

Lexus NX 2019 ini dijual pada harga bermula RM313,888 (atas jalan tanpa insurans). Semua model baharu yang dijual oleh Lexus Malaysia didatangkan dengan tempoh jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Sokongan penuh lepas jualan juga disediakan di tujuh lokasi Pusat Servis Lexus seluruh Malaysia yang dikendalikan oleh juruteknik profesional yang telah menerima latihan pakar daripada Lexus.

Lexus NX baru ini ditawarkan dalam tiga varian; NX300 Premium, NX300 Urban dan NX300 F-Sport dan akan berada di semua bilik pameran Lexus di Malaysia bermula 22 Jun 2019.