Komitmen Malaysia terhadap perjanjian itu merisaukan sebilangan rakyat terutamanya kaum Melayu kerana khuatir dasar-dasar perlindungan bumiputera bakal terjejas.

Apabila menilai perkem-
bangan TPPA, ketakutan yang timbul itu sebenarnya berpunca daripada struktur ekonomi negara serta sikap rakyat negara ini yang tidak mempunyai satu senjata penting dalam persaingan global, iaitu inovasi.

Malaysia merupakan antara lokasi mengeksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) utama di dunia, namun kebanyakkan E&E adalah milik asing dan bukan hasil inovasi tempatan.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank. Datuk Dr. Mohd. Nazri Khan Adam berkata, walaupun sekian lama menjadi lokasi pengeluaran E&E Malaysia tidak menggunakan kelebihan itu bagi membina industri yang dikuasai oleh anak tempatan.

Jelasnya, Malaysia tidak boleh lagi menyaingi negara kos rendah seperti Vietnam dan Indonesia, tetapi malangnya tidak mempunyai tahap inovasi dan kreativiti seperti Jepun atau negara-negara Scandinavia.

Kata beliau, tiadanya kemajuan inovasi menyebabkan Malaysia berada di dalam perangkap negara berpendapatan menengah dan sukar menjadi negara berpendapatan tinggi.

Malaysia pernah melancarkan Dasar Pandang Ke Timur berkiblatkan Jepun, namun budaya inovasi dan teknologi negara itu tidak dapat diterjemahkan ke tahap yang diingini walaupun kerajaan berbelanja tinggi menghantar pelajar-pelajar tempatan ke negara itu.

Kebanyakan pengurusan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun pegawai kerajaan merupakan lulusan luar negara tetapi selesa bersama syarikat-syarikat dijamin kerajaan, bukannya pulang untuk menjayakan inovasi seperti mana yang diharapkan.

Malah jenama teknologi yang dihasilkan oleh GLC tempatan boleh dikira dengan jari. Tidak pasti bagaimana GLC tempatan mahu berdepan dengan kecekapan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS), Jepun atau Singapura.

Tidak boleh menyalahkan kerajaan dalam soal ini. Penyediaan bantuan dan kemudahan kerajaan begitu banyak terutamanya kepada kaum Melayu, namun kurangnya disiplin mahupun inovasi membuatkan Malaysia akhirnya gemuruh berdepan TPPA.

Konglomerat tempatan milik Cina di Malaysia juga tidak mencapai tahap seperti mana di Taiwan yang terkenal dengan teknologi Acer atau HTC.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, TPPA merupakan perjanjian perdagangan yang baik tetapi disebabkan kelemahan domestik sendiri menyebabkan perjanjian itu ditentang.

“Negara tiada pilihan untuk menolak TPPA, sampai satu masa mahu tidak mahu Malaysia kena menghadapinya dan tidak boleh menyendiri dalam aspek perdagangan global,” katanya.

Belum terlambat buat Malaysia untuk menjadi sebuah negara ekonomi berasaskan inovasi, memandangkan TPPA hanya bermula secara efektif pada 2019.