Agensi penarafan itu berkata peningkatan itu disokong terutamanya daripada kesan asas rendah dari 2018, selain beberapa rangsangan semasa bulan ramadan (yang bermula pada 6 Mei) sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tekanan itu dijangka mereda ke arah separuh kedua bulan itu apabila Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bermula dari 21 Mei-19 Jun.

“Inflasi dibayangkan meningkat pada Jun, dirangsang oleh kesan asas rendah dari tahun lepas apabila kadar inflasi menjunam selepas penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan. Kami menjangkakan tekanan yang lebih tinggi pada Julai, dengan pelaksanaan berjadual subsidi bahan api bersasar.

“Setakat tahun ini, tekanan harga kurang teruk berbanding yang kami jangkakan pada awalnya, oleh itu unjuran kami cenderung rendah pada 1.6 peratus bagi 2019,” kata RAM dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penyelidikannya Kristina Fong berkata prospek inflasi akan banyak bergantung kepada pelaksanaan dan jenis mekanisme yang digunakan berbanding subsidi bahan api bersasar, yang mungkin mengubah tekanan inflasi pada separuh kedua 2019.

“Unjuran semasa kami menggunakan mod ‘pindahan tunai’, dengan setiap orang membayar harga yang sama di stesen minyak dan harga bahan api diapung mengikut kadar pasaran dan sekiranya mekanisme ‘kad fleet’ diguna pakai, ini akan mengurangkan keseluruhan inflasi sebanyak 0.1 mata peratusan.

“Sekiranya siling harga semasa tidak dihapuskan apabila subsidi bersasar dilaksanakan, ini akan menurunkan inflasi keseluruhan kira-kira 0.4 mata peratusan,” kata Fong.

Ketidakpastian berhubungan trajektori harga minyak global di bawah sistem kadar apungan juga memberi risiko kepada unjuran kami, kerana setiap kenaikan 10 sen/liter harga petrol RON95 akan menaikkan keseluruhan inflasi sebanyak kira-kira 0.2 mata peratusan, katanya. - BERNAMA