Ketua Pegawai Jualan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda), Voon Yin Kong berkata, ramalan tersebut adalah berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memperlihatkan prestasi positif.

“Agak sukar sebenarnya untuk menyatakan sama ada industri motosikal tempatan bakal berdepan keadaan sukar pada tahun ini berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil.

“Namun, melihat kepada laporan KDNK, ia nampak sedikit positif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri ­anjuran Boon Siew Honda.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda dan Pengerusinya, BSH, Datuk Seri Tan Hui Jing.

Sehubungan itu, jelas Yin Kong, pihaknya akan terus membawa masuk model-model baharu pada tahun ini untuk memenuhi permintaan pengguna tempatan.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil hasil kajian di pasaran yang dilaksanakan Boon Siew Honda.

“Dengan perkembangan perniagaan semasa bagi pengedar motosikal berkuasa tinggi jenama Honda, iaitu Honda Big Wing, kami perlu membawa masuk model-model baharu untuk membantu menyokong jualan.

“Kami tidak meletakkan sasaran jualan buat masa ini, tapi pasaran menunjukkan ada permintaan untuk model-model baharu bagi menggantikan model-model lama,” ujarnya.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan tiga model baharu motosikal berkuasa tinggi Honda iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X.

Ketiga-tiga model masing-ma­sing dijual pada harga RM34,499, RM33,999 dan RM36,099.