Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha untuk mewujudkan indeks itu telah dimulakan termasuk mendapatkan kerjasama daripada beberapa buah agensi.

“Semalam dalam mesyuarat bersama Kementerian Kewangan dan kementerian saya perkara itu ada dibincangkan kerana ukuran yang kita guna pakai sekarang adalah ukuran Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Kita menganggap seperti tidak memberikan gambaran sebenar kepada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut 108 warga kerja di bawah kementerian itu menerima APC bagi tahun 2018 termasuk kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kakitangan Perbadanan Harta Interlek Malaysia (MyIPO) serta kakitangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, kerajaan merancang mewujudkan indeks untuk mengukur kos sara hidup bagi membantu majikan menentukan kenaikan gaji yang bersesuaian. - UTUSAN ONLINE