Pemilik syarikat berkenaan, Rahayu Usop berkata, produk murtabak sejuk beku berkenaan yang pernah dipromosikan ke karnival makanan di Singapura oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebelum ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan di sana.

“Kita ada perancangan untuk menembusi pasaran Singapura dan Brunei sekitar hujung tahun ini kerana melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan di sana.

“Setakat ini kita mampu mengeluarkan 35,000 pek setiap bulan dan kini dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan beberapa penambahbaikan di peringkat kilang dahulu,” katanya ketika ditemui di kilang I-On Enterprise di Entrepreneur Park, Pongsu Seribu di sini hari ini.

Rahayu yang mengusahakan syarikat itu bersama suaminya, Megat Ardy Megat Aziz berkata, sejak memulakan perniagaan pada 2017 terdapat enam produk murtabak sejuk beku yang dikeluarkan iaitu murtabak keju lava ayam, murtabak keju lava daging, murtabak ayam, murtabak daging, murtabak kambing serta murtabak asli ayam dan daging.

“Setiap produk murtabak ini mempunyai resipi istimewa yang diwarisi turun temurun daripada ibu mertua saya yang merupakan peniaga murtabak sejak 1985.

“Saya yang mula mempelajari resipi murtabak ini pada 2016 kemudiannya memperkenalkan kelainan pada produk ini dengan menambah keju di dalamnya dan produk ini terus mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Tambahnya, selain murtabak yang menjadi produk utama, syarikat berkenaan juga turut mengeluarkan roti canai, karipap dan juga samosa.

Dalam pada itu, Pengarah FAMA negeri, Habibah Sulaiman yang melawat kilang berkenaan berkata, syarikat berkenaan menerima geran change upgrade product (CUP) mesin dan peralatan pada tahun 2017 untuk memajukan perniagaan mereka.

“Selain itu, FAMA juga turut membantu usahawan ini dari segi pemasaran dengan memperkenalkan produk mereka menerusi penyertaan dalam program promosi dan pemasaran di karnival jualan dalam serta luar negara.

“Malah produk murtabak sejuk beku ini juga kini menembusi pasaran Kshope dan pasar raya terkemuka seperti Mydin, Giant, Halal Mart, Agrobazar dan lain-lain lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE