Menurut laporan Bloom­berg yang memetik sumber, CK Hutchison menyatakan minat secara tidak rasmi untuk menero­ka gabungan perniagaan tanpa wayar di Indonesia de­ngan unit tempatan Malaysia, PT XL Axiata.

Bagaimanapun, pihak terlibat buat masa ini belum lagi memulakan sebarang rundingan substantif, ujar individu yang tidak mahu didedahkan.

Wakil daripada CK Hutchison bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan.

Hutchison Asia Telecommunications, yang menempatkan perniagaan telekomunikasi CK Hutchison di Indonesia, Vietnam dan Sri Lanka mempunyai kira-kira 45.7 juta akaun pelanggan aktif di ketiga-tiga negara itu.

Pada 6 September lalu, Axiata dan Telenor ASA bersama-sama bersetuju untuk menamatkan perbincangan mengenai cadangan penggabungan aset tele­komunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

Sepanjang tempoh empat bulan lepas, kedua-dua pihak telah melaksanakan usaha wajar mereka dan memuktamadkan perjanjian transaksi yang perlu diselesaikan pada suku ketiga 2019.

Axiata telah memperkenalkan beberapa perniagaan dan usaha ke dalam bidang baharu kepada pelabur strategik untuk memulihkan semula pertumbuhan perniagaan syarikat.

Pada Julai 2018, Sumitomo Corp. melabur di cabang pengiklanan mudah alih Axiata, manakala Mitsui & Co membeli kepentingan dalam unit perkhidmatan digital Axiata pada tahun ini.

Perniagaan menara tanpa wayar Axiata juga telah menarik minat pengambilalihan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut laporan Bloomberg News.