Pengarah Urusan HP Malaysia, Fayza Mohamed Amin berkata, memandangkan pihak industri sendiri menggerakkan transformasi inovasi dan digital dengan lebih pantas, syarikat itu menyasar mencipta ekosistem di mana inovasi itu merupakan sesuatu yang norma.

“Kami bercadang melakukannya menerusi projek akar umbi seperti HP Little Makers dan kerjasama bersama HP x Disney yang meraih anugerah dan berusaha memberi inspirasi serta minda kreatif melalui pembelajaran secara sentuhan menggunakan aplikasi pintar dan teknologi cetakan.

“Bagi golongan belia, kami memperjuangkan pernyataan kendiri menerusi kempen ‘HP Ekspresi Kami’ bagi menggalakkan bakat muda tempatan berhubung dengan artis dalaman menerusi platform seni kreatif muzik,” katanya pada taklimat media mengenai strategi perniagaan HP Malaysia di sini hari ini.

Fayza berkata, HP Malaysia turut komited menyokong perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana menerusi kerjasama dalam bidang peruncitan, dalam talian dan peruncit korporat di setiap peringkat.

Jelasnya, kilang pembuatan HP di Pulau Pinang memiliki 70 peratus pembekal daripada syarikat Malaysia dan pihaknya berhasrat untuk mengembangkan segmen tersebut.

“Bagi HP Malaysia, hubungan kami dengan mereka bukan hanya melibatkan urusniaga semata-mata, malah menyediakan mereka dengan kepakaran global serta kemahiran dan piawaian yang diperlukan ke arah kejayaan perniagaan yang mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Fayza yang mempunyai pengalaman melebihi 20 tahun dalam dunia korporat akan membawa masuk pengetahuan luasnya dalam industri teknologi dalam dan luar negara ke HP Malaysia.

Antara pencapaian diraih Fayza termasuk menjadi sebahagian pasukan perintis untuk mencipta Internet di Malaysia selain menerajui pembangunan pengkomputeran awan awam negara. - BERNAMA