Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Asri Omar berkata, berdasarkan prestasi semasa, pihaknya yakin mencapai kutipan sumbangan RM250 juta bagi tahun kewangan berakhir hujung Jun ini berbanding hampir RM200 juta tahun lalu.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan yang dicapai oleh syarikat itu melebihi purata pertumbuhan industri takaful tempatan yang berlegar sekitar 11 peratus sehingga 12 peratus.

“Pada tahun-tahun sebelum ini juga kita mencatatkan pertumbuhan yang lebih kurang serupa.

“Sehingga kini kita mempunyai lebih dua juta peserta yang menyertai pelbagai pelan takaful,” katanya ketika ditemui selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Utusan Malaysia dan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) di sini baru-baru ini.

Dalam program itu, pihak Hong Leong MSIG Takaful telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 50 asnaf yang berdaftar dengan KKAK.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, sebagai salah sebuah daripada 11 pengendali takaful di negara ini, pihaknya turut bertanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya umat Islam tentang kepentingan mempunyai perlindungan.

Beliau berkata, kadar celik takaful di kalangan penduduk masih rendah dengan jumlah yang menyertai produk perlindungan berasaskan syariah itu hanyalah 15 peratus berbanding populasi yang ada dalam negara.

“Dengan majoriti penduduk Islam yang ada, sepatutnya produk perlindungan yang menjadi pilihan mereka adalah takaful berbanding produk konvensional.

“Tugas kita sekarang adalah turun kepada masyarakat dan bercerita kepada mereka supaya kesedaran meningkat,”katanya.

Menurutnya lagi, hampir 40 peratus daripada dua juta peserta Hong Leong MSIG Takaful adalah dari kalangan bukan Islam.

“Ini membuktikan golongan ini juga percaya dengan perlindungan berlandaskan syariah,”katanya. - UTUSAN ONLINE