Langkah itu dibuat dalam lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking ke Honeywell Technology Experience Center (HTEC) syarikat itu di Washington D.C, Amerika Syarikat (AS) pada 1 April.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Zainal Amanshah dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud, dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke AS mulai 1 April.

Dalam kenyataan, Darell berkata kementeriannya akan terus menumpukan kepada amalan terbaik dalam inovasi, teknologi, industri dan pembuatan, yang Malaysia dapat menyesuaikan dengan pelan IR 4.0 yang sedang berkembang.

“Ekosistem inovasi yang berjaya membolehkan syarikat multinasional (MNC) berkembang maju.

‘Pada masa sama, ia membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjaya dalam pasaran khusus, dan menjadi sumber kekuatan ekonomi sebagai pembekal kepada MNC dan sebagai pengeksport.

“Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat ini. Faktor penting untuk memastikan kejayaan ialah bekerjasama dengan rakan industri dan penggiat global seperti Honeywell untuk membolehkan PKS membuat penambahbaikan yang berterusan dalam proses dan produk yang akan membantu mereka meningkatkan rantaian nilai,” katanya.

Beliau berkata ini sekali gus membawa kepada kelebihan daya saing yang berterusan.

Zainal berkata melalui kerjasama rapat dengan penggiat global, PKS tempatan akan lebih cenderung kepada memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang inovatif daripada memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasaran domestik.

“Honeywell membawa impak positif kepada pertumbuhan PKS di Malaysia dan kami mengalu-alukan bakal pelabur yang sama dengan matlamat yang sejajar dengan Malaysia,” katanya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Honeywell Darius Adamczyk yang mengunjungi Malaysia pada tahun lepas dan menemui pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pelanggan utama, berkata beliau berasa positif dengan matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi utama kepada industri teknologi tinggi dan pelannya untuk inovasi teknologi.

“Agenda IR 4.0 Malaysia memberikan Honeywell peluang yang mengalu-alukan kerjasama dengan entiti kerajaan, PKS tempatan, pembekal dan pihak berkepentingan utama lain untuk membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini kepada kecekapan tenaga, kemampanan, keselamatan dan produktiviti,” katanya.

Honeywell mewujudkan ibu pejabat serantau ASEAN di Kuala Lumpur pada 2015 sebagai MNC pertama menyertai inisiatif hab utama kerajaan. -BERNAMA