Honda Malaysia dalam ­kenyataan berkata, pelan insurans itu dicipta dengan matlamat kesetiaan pemilikan menerusi membina hubungan berterusan dengan para ­pelanggan.

Katanya, pelan yang menggunakan tagline ‘Dibina oleh Honda. Dilindungi oleh Honda. Diperbaiki oleh Honda’ itu menggariskan tiga tunjang iaitu menyelamat, perlindungan dan simpanan bagi menyediakan liputan komprehensif terhadap kebajikan dan kelebihan pelanggan.

“Pasukan HiP bersedia 24 jam setiap hari tujuh hari se­minggu dan pelanggan boleh menghubungi untuk bantuan pada bila-bila masa. Perkhidmatan turut disediakan jika berlaku kemalangan, kerosakan atau banjir dan akan dihantar ke pusat badan kenderaan dan cat (B&P) Honda bertauliah yang terdekat.

“Ahli HiP akan dimaklumkan tentang prosedur tuntutan daripada pengedar Honda yang sah. Pelan insurans ini juga menawarkan servis pembaikan bersama upah pekerja sehingga RM200 seperti jump-start, penggantian ­bateri, menukar tayar pancit dan mengisi semula minyak tetapi tidak termasuk alat ganti,” katanya di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, bagi memastikan perlindungan menyeluruh, kereta Honda yang terlibat dengan kemalangan atau kerosakan akan dihantar ke pusat B&P Honda yang bertauliah serta pemeriksaan oleh pakar bagi mematuhi standard Honda.

Katanya, sehingga kini terdapat 23 pusat B&P di seluruh negara bagi membo­lehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan berkualiti, ­juruteknik terlatih dan pelbagai peralatan canggih.

“Penggantian badan ken­deraan dan bahagian alat ganti adalah 100 peratus tulen yang didatangkan dengan enam bulan jaminan atau jaminan servis 10,000 kilometer. ­Pelanggan akan mendapat semula kereta mereka dengan cepat serta proses tuntutan yang pantas terutama tuntutan pra kelulusan di bawah RM20,000 yang dibaiki di B&P Honda,” ujarnya.

Mengenai keselamatan dan kewangan pelanggan, Honda Malaysia berkata, HiP didatangkan dengan terma perlindungan lanjutan dan lebih penjimatan terhadap kos penggantian.

“Ahli HiP layak mendapat perlindungan seperti 100 peratus pembayaran untuk kecurian atau kemalangan teruk berdasarkan jumlah yang diinsuranskan. Tiada kos tersembunyi untuk penggantian alat ganti baharu yang disebabkan kemalangan bagi usia kereta sehingga 10 tahun dan perkhidmatan tunda 24 jam,” katanya.