Pengerusinya, Wang YouDe berkata, syarikat itu memberi tumpuan sepenuhnya dalam melengkapkan kilang penapis untuk jangka masa panjang melalui program pelaburan modal intensif tanpa menjejaskan kedudukan kewangannya yang kukuh.

“Walaupun telah membelanjakan RM60 juta atau AS$150 juta untuk capex tahun lepas, kami berjaya mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh dan menambah baik tahap kadar hutang kami kepada 0.57 kali berbanding 0.67 kali tahun lepas,” katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat agung tahunan ke-60 syarikat itu di sini hari ini.

Wang berkata, dengan tahun kewangan 2019 menjadi tahun pembinaan dan pengukuhan, syarikat itu akan meneruskan usahanya melabur bagi kelangsungan jangka masa panjang kilang penapis itu dengan melaksanakan projek-projek infrastruktur utama yang meningkatkan lagi kemampanan dan kebolehpercayaan kilang penapisan itu.

Perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2019 akan diperuntukkan bagi empat projek infrastruktur utama seperti Euro 4M Mogas (Euro 4M), Clean Air Regulation (CAR), Hydrogen Generation (H2GEN) dan Euro 5 Gasoil (Euro5G). - BERNAMA