Pengarah Urusannya, Kuan Mun Leong berkata, hasil meningkat kepada RM2.83 bilion berbanding RM2.41 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, pendapatan kumpulan sesaham untuk 12 bulan berada pada 13.72 sen berbanding 13.28 sen manakala aset bersih sesaham mencatatkan 67 sen pada 31 Mac, 2019.

“Sejajar dengan komitmen untuk meluaskan nilai pegangan saham, syarikat mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.9 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 dan akan dibayar pada 27 Jun 2019.

“Kumpulan mencatat tahun kewangan yang kukuh didorong oleh peningkatan nilai jualan selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk sarung tangan nitril selain pengembangan kapasiti pengeluaran yang berterusan menerusi Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Baharu (NGC) di Sepang,” kata dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mengenai masa hadapan, Mun Leong berkata, kumpulan menyedari hala tuju pasaran dan meletakkan pelan pertumbuhan jangka panjang yang mampan ketika syarikat bergerak ke hadapan dengan pelan pengembangan kapasiti untuk NGC agar seiring dengan penawaran pasaran dan permintaan dinamik.

“Kami berjaya mengoperasikan 10 daripada 12 mesin pengeluaran untuk kilang kelima dengan baki mesin akan dioperasikan secara berperingkat. Pembinaan kilang keenam juga telah dimulakan diikuti oleh sokongan kemudahan dalam separuh kedua 2019.

“Selain itu, inovasi dunia pertama kami, sarung tangan antimikrobial terus menyaksikan penerimaan pasaran yang semakin meningkat. Kami optimis ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. - BERNAMA