Saya pernah menerangkan isu hibah harta bercagar ini dalam siri yang lepas namun saya rasa mungkin masih ramai yang kurang jelas. Kerana itulah soalan sah atau tidak ini masih berlegar dalam masyarakat. Baiklah. Izinkan saya menerangkannya de­ngan bahasa yang mudah dan jelas.

Fuqaha mendefinisikan hi­bah sebagai pemberian milik sesuatu tanpa balasan yang berlaku ketika hidupnya pemberi hibah. Salah satu rukun hibah pula ialah harta yang dihibah itu mestilah milik sempurna pemberi hibah.

Perinsip asas

Isu yang dibahaskan ialah adakah harta yang masih dalam pinjaman pembiaya itu milik sempurna atau tidak sempurna pemberi hibah. Prinsip asas yang perlu difahami ialah apabila Abu membeli rumah dengan pinjaman Bank B, Abu diperlukan untuk ‘mencagarkan’ semula rumah itu kepada Bank B. Jika Abu gagal membayar hutangnya, Bank B mempunyai hak untuk menjual rumah itu bagi Bank B mendapatkan semula baki pinjaman yang tertunggak. Bab ini jelas. Semua orang tahu.

Menurut sesetengah ulamak, bila Abu mencagarkan rumah­nya kepada Bank B ia tidak bermakna Bank B telah ‘memiliki’ rumah itu. Hak milik dan milikan rumah itu masih pada Abu. Ini selari dengan pandangan al-Syafie yang menyatakan: “Manfaat harta yang dicagar adalah milik pencagar (Abu) dan perbe­lanjaan pengurusan harta tersebut adalah tangggungjawabnya.” Rasulullah SAW juga bersabda bahawa: “Gadaian tidak terluput daripada penggadai yang menggadaikannya. Dia yang mendapat keuntungan dan kerugian.”

Ini bermakna harta yang masih dalam pembiayaan itu sahih adalah milik sempurna pencagar. Walaupun begitu oleh kerana rumah itu telah Abu cagarkan kepada Bank B, jika Abu ingin mentransaksikan rumah itu seperti ingin membuat hibah, wakaf, menjual atau apa-apa transaksi, Abu perlu melihat kepada perbezaan pandangan ulamak tentang kedudukannya.

Pandangan ulamak

Pandangan Syafie, Hambali dan Maliki menyatakan bahawa jika Abu ingin menghibahkan rumah itu kepada sesiapapun, Abu perlu terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada Bank B sebelum akad hibah dilaksanakan. Jika Bank B tidak memberi kebenaran, maka akad hibah Abu dengan penerima hibah itu dianggap tidak sah dan terbatal.

Pandangan Hanafi pula me­nyatakan bahawa sekiranya Abu tidak mendapat keizinan dari Bank B, akad hibah Abu dengan penerima hibah ialah tergantung (mawquf). Ia tidak terbatal. Bank B boleh memberi kebenaran pada bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas akad hibah itu berlaku. Kebenaran ini pula boleh ditafsirkan oleh Mahkamah Syariah datang dalam pelbagai bentuk sama ada secara terang atau tersirat.

Mahkamah Syariah di Malaysia sudah mengesahkan kes hibah bagi harta yang masih di dalam pembiayaan bank seperti kes Maybank (2011 & 2015) dan kes CIMB Bank (2018). Pemilik harta menghibahkan hartanya yang masih dalam pembiayaan kepada pene­rima hibah dan ia disahkan oleh Mahkamah Syariah berkenaan.

Di dalam alasan penghakiman kes Maybank (2015), panel hakim juga menyatakan dengan jelas dalam alasan penghakiman:”Berpegang ketat dengan pendapat Syafie dan Hambali dalam perkara ini akan menyukarkan transaksi dalam pengurusan pentadbiran harta di Malaysia khususnya berkaitan dengan instrumen hibah.” Panel hakim telah berpegang kepada pandangan mazhab lain bagi kes ini. Ini membuktikan bahawa Mahkamah Syariah tidak terikat dengan pandangan Syafie semata-mata seperti yang disangkakan oleh kebanyakan orang.

Namun saya mengakui bahawa ada kes hibah harta yang masih dalam pembiayaan ini ditolak oleh Mahkamah Syariah sebagai tidak sah. Punca penolakan ialah kerana pihak yang membawa kes ini kurang pengalaman dan pengetahuan teknikal tentang subjek berke­naan. Sebagai pemain industri paling berpengalaman di Malaysia dalam urusan hibah, Wasiyyah Shoppe telah menjalankan penyelidikan ilmiah untuk mendalami faktor kenapa ia sah dan kenapa kadang-kadang ia tidak sah dan selepas melalui proses saringan ketat, menawarkan penyelesaian hibah harta bercagar kepada rakyat Malaysia.

Kenapa pula hibah harta bercagar ini penting? ikuti artikel minggu depan.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.