Menurut data daripada kerajaan, harga hartanah di bandar berkenaan turun 0.076 peratus berbanding Julai.

Biarpun penurunan tersebut adalah sedikit, ia merupakan penurunan yang pertama sejak Mac 2016 dan memberi sedikit kelegaan terhadap pasaran hartanah Hong Kong yang merupakan antara termahal di dunia.

“Berdasarkan pengiraan Reuters yang mengumpulkan indeks daripada Jabatan Penilaian dan Penarafan Hong Kong, harga rumah di Hong Kong masih tinggi dan telah meningkat naik 11.7 peratus tahun ini dan 16 peratus tahun ke tahun.

“Kadar faedah yang sangat rendah, bekalan rumah yang terhad dan aliran masuk modal yang besar dari pembeli China telah mengakibatkan harga rumah meningkat 165 peratus dalam tempoh sedekad, mendorong amaran daripada pihak berkuasa mengenai risiko gelembung aset,” katanya di sini hari ini.

Kenaikan harga hartanah telah menimbulkan kemarahan ramai penduduk Hong Kong dan mendorong kerajaan untuk menyediakan plot tanah perumahan awam dan mencadangkan cukai sifar untuk rumah baharu yang tidak didiami bagi mengelakkan pemaju dari­pada membina terlalu ba­nyak rumah.

Indeks Gelembung Hartanah UBS Global terkini yang diterbitkan pada Khamis menyenaraikan Hong Kong sebagai bandar raya dengan risiko gelembung hartanah terbesar.

Menurut indeks berkenaan, pekerja sektor perkhidmatan berkemahiran tinggi dengan pendapatan tahunan purata perlu bekerja selama 22 tahun bagi membolehkan mereka membeli sebuah rumah pangsa berkeluasan 646 kaki persegi.

“Ia merupakan peningkatan 12 tahun berbanding keputusan kajian 10 tahun lepas,” menurut laporan itu.

Menurut data rasmi, harga purata bagi rumah pangsa di Hong Kong untuk bulan Ogos adalah HK$10.8 juta (RM5.7 juta). – AGENSI