Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, kenaikan indeks keseluruhan didorong oleh kenaikan indeks Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah sebanyak 3.3 peratus, Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (2.4 peratus), Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan (2.4 peratus), Minuman Alkohol dan Tembakau (2.3 peratus) dan Komunikasi (2.1 peratus).

Katanya, bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding Jun 2019 dan ia disokong terutama oleh Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.3 peratus), Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.2 peratus) dan Pengangkutan (0.2 peratus).

Sementara itu, katanya, IHP bagi tempoh Januari hingga Julai 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan 2.4 peratus pada Julai 2019 berbanding tempoh masa sama pada tahun sebelumnya.

“Kenaikan ini didorong oleh kenaikan sub kumpulan Sayur-sayuran (4.7 peratus), Susu dan Telur (2.6 peratus) dan Buah-buahan (2.5 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah Cili Merah (21.8 peratus), Cili Hijau (16.3 peratus), Kobis Bulat (15.1 peratus), Kerang (14.6 peratus), Salad Bulat (14.4 peratus), Yoghurt (13.9 peratus) dan Cili Burung (12.7 peratus).

Beliau berkata, selain itu Indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 4.4 peratus pada Julai 2019 berbanding Julai 2018.

Katanya, kenaikan harga bagi Burger, Ayam Goreng, Pizza dan Makanan Laut selain Ikan telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi sub kumpulan berkenaan.

“Empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Johor menunjukkan kenaikan melepasi paras nasional IHP sebanyak 1.4 peratus pada Julai 2019 berbanding Julai 2018. Sementara itu, Negeri Sembilan dan Perak menunjukkan kenaikan pada paras sama dengan IHP nasional.

“Semua negeri turut mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol.

“Kenaikan tertinggi telah direkodkan oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.4 peratus), Pulau Pinang (3.0 peratus), Johor (2.7 peratus) dan Selangor serta Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6 peratus) dan kenaikannya melebihi paras indeks nasional kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol bagi Julai 2019,” katanya. - UTUSAN ONLINE