Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, seba­nyak enam varian iaitu E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE ditawarkan menepati bajet, penggunaan dan personaliti berbeza setiap rak­yat Malaysia.

Katanya, semua varian dikuasakan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan pemasaan injap boleh ubah pintar (VVT-i) yang disambung kepada transmisi manual lima kelajuan pada vari­an E dan transmisi automatik kawalan elektronik empat kelajuan pada semua varian lain.

Jelasnya, Axia adalah intipati kepada matlamat Perodua iaitu untuk menawarkan mobiliti yang mampu milik dan mudah buat semua.

“Lebih 380,000 unit telah menemui pemiliknya sejak pelancaran pertama pada September 2014 dan sebenarnya ia menjadi model terlaris kami sejak 2015 hingga 2017.

“Dengan Perodua Axia 2019, kami ingin mengubah pengalaman mobiliti di Malaysia de­ngan menambah nilai, kese­lamatan dan gaya untuk memastikan Axia kekal menjadi pilihan pertama anda,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) Perodua yang pertama muncul pada kende­raan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk Aruz pada Januari lalu, kini memasuki model Axia menerusi varian AV menjadikannya kenderaan dengan ciri sedemikian paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki, kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j), Amaran Prapelanggaran (kelajuan sehingga 100 km/j), Brek Prapelanggaran (kelajuan sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

Zainal berkata, dengan adanya ASA 2.0 ke Perodua Axia 2019, pihaknya membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat, seperti yang dilakukan dengan Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017.

Katanya, semua varian dari GXtra dan ke atas dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC) dan semua varian kecuali E mempunyai ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD).

“Perodua Axia menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2014. Kini, dengan kecekapan bahan api yang dinilai 22.5 kilometer per liter (km/l) untuk manual, 21.6 km/l untuk auto dan 20.8 km/l untuk varian baharu STYLE, ia kekal menjadi antara kenderaan paling cekap bahan api di negara ini.

“Peningkatan dalam aspek keselamatan dan ciri-ciri tambahan, ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikaliti, ruang luas, kos pemilikan rendah, kemudahan pemanduan dan kebolehpercayaan dalam masa sama kekal mampu milik, Axia kini menawarkan lebih banyak nilai berbanding sebe­lumnya,” katanya.

Mengenai varian baharu STYLE, Zainal berkata, Perodua mengambil langkah baharu dengan Axia STYLE, ahli keluarga Axia baharu yang akan menampilkan keseronokan dan keaktifan gaya hidup orang ramai.

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi mana-mana cawangan jualan kami di seluruh negara. Penasihat jualan sah kami bersedia untuk melayani dan membantu anda serta menjawab segala pertanyaan anda mengenai Perodua Axia 2019 yang akan muncul di ruang pameran tidak lama lagi,” katanya.

Perodua Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

Habis.