AI boleh dirujuk sebagai teknologi generasi yang akan menjadi paksi dunia digital dan jika dimanfaatkan dengan baik, AI dapat memberikan penyelesaian kepada masalah daripada mencari penawar kepada penyakit untuk mewujudkan dunia yang lebih mampan.

Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Korporat Microsoft Malaysia dan pasaran baharu, Dr. Jasmine Begum berkata, berdasarkan kaji selidik oleh ketua pegawai eksekutif tempatan, Microsoft mengenal pasti bahawa hanya dua peratus daripada perniagaan di Malaysia telah mula mengguna pakai AI.

Katanya, terdapat banyak peluang yang belum diterokai.

“Syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu tahu bahawa mereka patut boleh menggunakan data daripada pelanggan mereka dan menjadikannya sebagai peluang. Contohnya, pelanggan kini boleh menggunakan dalam talian dan memberikan anda maklum balas (selepas melakukan transaksi).

“Adakah anda mengambil data itu dan mengubahnya menjadi visi dan memanfaatkan produk anda untuk kegunaan seterusnya? Berapa banyak daripada PKS kita yang sedia melakukan itu? Tidak. Jadi, kecuali anda boleh menunjukkan data itu boleh menjadi peluang perniagaan, budaya data tidak akan berlaku,” katanya kepada Bernama di luar acara Beyond Paradigm Summit 2019 yang dianjurkan Serba Dinamik Holdings Bhd.. - BERNAMA