Pertumbuhan PKS akan dirancakkan lagi menerusi pengurangan kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama yang dikurangkan daripada 19 peratus kepada 18 peratus seperti diumumkan dalam Bajet 2017.

Rakan kerjasama firma perakaunan YYC & Co., Yap Shin Siang berkata, pengurangan cukai pendapatan berdasarkan mata peratusan membolehkan syarikat lebih berkembang dan mewujudkan nilai tambah dalam aktiviti mereka.

Katanya, PKS yang berdaftar dengan sistem GST telah menunjukkan kemajuan dalam mematuhi peraturan dan kini lebih bersedia untuk menyerahkan dokumen penyata pulangan GST.

“Bagi pengguna, mereka perlu melihat fungsi cukai ini yang membantu negara ketika ekonomi semasa tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sektor PKS merupakan satu daripada tulang belakang ekonomi dan penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Segmen berkenaan menyumbang sebanyak 36 peratus daripada jumlah KDNK pada 2015 dengan eksport sebanyak 18 peratus.

Kira-kira 95 peratus daripada jumlah perniagaan dalam negara pada 2015 merupakan PKS dan membuka 65 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.

Susulan pengumuman Bajet 2017, YYC & Co akan menjalankan bengkel bajet di 11 cawangannya bagi memastikan para pelanggan mengetahui pengurangan cukai yang akan memanfaatkan mereka.

Shin Siang dalam pada itu menyarankan PKS mendapatkan bimbingan daripada pakar cukai dan perniagaan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perluasan perniagaan atau mewujudkan syarikat baharu.

“Ini kerana berbeza dengan budaya diamalkan PKS di luar negara, PKS di Malaysia masih teragak-agak untuk berbincang dengan firma berkaitan bagi membantu mereka menyusun strategi perniagaan,” tambah beliau.

YYC & Co ditubuhkan pada 1974 menawarkan perkhidmatan audit, khidmat nasihat cukai dan perniagaan memiliki lebih 2,000 pelanggan meliputi syarikat senaraian awam (PLC), syarikat multinasional (MNC) dan PKS.

PKS sumbang 36%kepada KDNK 2015

Membuka
65%
peluang pekerjaan di Malaysia

PKStulang belakang ekonomi

Faktor memacu aktiviti PKS:

95% daripada jumlah perniagaan dalam negara pada 2015 merupakan
PKS