GPP dalam kenyataannya berkata, syarikat dan subsidiarinya terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan penggunaan biojisim bagi menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dan produk batang sawit (OPT).

“Syarikat merancang mengumpul RM4.37 juta daripada cadangan penyenaraian di Pasaran LEAP yang mana RM1 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal untuk membeli mesin dan peralatan baharu bagi menampung operasi semasa dan masa depan perniagaan produk OPT kumpulan,” kata di sini hari ini.

Menurut GPP, kira-kira RM1.32 juta akan digunakan sebagai modal kerja bagi aktiviti pemasaran dan promosi serta membiayai operasi harian kumpulan manakala RM0.5 juta bagi penyelidikan dan pembangunan.

Katanya, baki RM1.55 juta akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

“Kumpulan akan terus memanfaatkan pertumbuhan dalam industri sawit bagi mengembangkan segmen tenaga boleh diperbaharuinya dan produk OPT yang menggunakan sisa organik dihasilkan daripada industri sawit sebagai makanan haiwan dan bahan mentah bagi perniagaannya,” ujarnya.

Penyenaraian itu melibatkan penerbitan 15.60 juta saham baharu dalam GPP kepada pelabur terpilih yang mewakili 10.06 peratus daripada modal saham diperbesarkan pada harga terbitan RM0.28 sesaham.

Berdasarkan kepada modal saham diperbesarkan sebanyak 155.12 juta saham, syarikat itu dijangka mempunyai permodalan pasaran RM43.43 juta selepas penyenaraian. - BERNAMA