Pengerusi MyFranchise, ­Datuk Md. Zubir Ansori Yahaya berkata, pihaknya kali ini tidak mahu membuang masa me­nunggu francaisi berminat untuk datang kepada mereka dan membuka cawangan yang mana dilihat semakin perlahan.

Sebaliknya, beliau berkata, konsep bina-operasi-pindah (BOT) akan digunakan iaitu PNS akan terus membuka cawangan baharu GJC sekiranya menemui lokasi strategik.

“Selepas itu, kami akan mengendalikan terlebih dahulu cawangan itu dan jika ada usahawan yang berminat, kami akan menjual cawangan itu kepada mereka.

“Konsep ini akan mempercepatkan pertumbuhan cawangan GJC dan ia juga mengurangkan risiko kepada para francaisi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Ogos lalu, MyFranchise terus meluaskan sayap rangkaiannya dengan membuka cawangan yang ke-45 di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, Pengerusi PNS, Datuk Dzulkifli Fadzilah dan Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang,

GJC di Wangsa Walk merupakan cawangan kedua milik Dr. Nurul Bahijah Ahmad Sidek yang mula berkecimpung dalam dunia francais sejak 2015 iaitu dengan membuka cawangan pertama di Wad Bersalin Kompleks Wanita dan Kanak-kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

GJC merupakan satu-satunya jenama kopi gourmet antarabangsa yang menawarkan sistem francais di Malaysia.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, lepasan siswazah yang masih menganggur boleh menyertai kursus Pre-franchisee dalam usaha mengenali francais lebih dekat dan mengkaji potensi perniagaan francais yang menarik minat mereka melalui latihan disediakan oleh PNS.

“Pada masa sama, PNS turut menyediakan skim pinjaman pembiayaan sehingga 70 peratus bagi bakal usahawan baharu. Setakat ini, PNS telah meluluskan pembiayaan kepada 37 usahawan GJC.

“GJC menawarkan dua konsep francais iaitu konsep lot kedai dan kiosk kepada mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan ini,” katanya.

MyFranchise menyasarkan untuk memiliki 87 cawangan jenama itu di seluruh negara pada 2023 berbanding 45 ­cawangan ketika ini.

l Guna konsep bina-operasi-pindah

l GJC mempunyai 45 cawangan

l Galak penganggur sertai kursus Pre-franchisee

l Pembiayaan sehingga 
70 peratus

l GJC tawar dua konsep francais