George Kent dalam kenyataannya berkata, perjanjian itu juga merangkumi pemindahan mesin dan peralatan berkaitan.

Katanya, kumpulan masih mengimport komponen pengukuran berketepatan tinggi serta pencatat Honeywell yang kemudian dipasang dengan perumah tembaga yang dikeluarkan oleh kumpulan itu.

“Di bawah perjanjian berkenaan, kumpulan akan mengeluarkan komponen pengukuran, perumah tembaga dan memasang peralatan untuk menjadikannya sebagai meter air yang lengkap.

“Ini akan membolehkan kumpulan mengawal bekalan komponen dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat termasuk mengurangkan kos pengeluaran,” katanya di sini hari ini.

Menurut syarikat itu, perjanjian pelesenan juga membolehkan kumpulan menjual produk-produk di bawah cap dagang GKM dan jenama George Kent secara eksklusif dalam 26 wilayah termasuk 15 wilayah baharu di rantau Asia dan ini akan membuka peluang pertumbuhan.

“Perjanjian tersebut dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Januari 2020 dan dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan kumpulan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. - BERNAMA