Pembekal objek berkaitan internet untuk segala-galanya (IoT) itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua rakan kongsinya di Beijing, China sempena Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa yang kedua.

G3 Global dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, taman yang dicadangkan itu akan menjadi platform kepada pembangunan penyelesaian AI dalam bidang visi komputer, pengecaman pertuturan, bahasa semula jadi dan humanoid atau robot.

“Taman itu akan membolehkan pembangunan teknologi dan tenaga kerja, pengurusan data, penyelidikan dan pembangunan serta ekosistem komersial yang bukan hanya dapat membantu kerajaan menangani ekosistem data dan tadbir urus AI tetapi juga peserta industri,” katanya di sini hari ini.

Di bawah MoU itu, G3 Global akan menyelaras dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk menubuhkan taman itu.

Syarikat itu juga akan menjalin kerjasama dengan agensi Malaysia, universiti, perusahaan, syarikat berkaitan kerajaan dan multinasional lain untuk menggalakkan pertumbuhan industri AI di Malaysia dengan menggunakan taman itu sebagai platform. - BERNAMA