Menurut Maybank IB Research, keputusan kewangan bagi keuntungan teras syarikat bagi suku keempat 2019 adalah lebih rendah daripada jangkaan di sebalik perkembangan positif di peringkat teras.

“Bagaimanapun, dividen khas adalah agak mengejutkan. Tumpuan seharusnya diberikan kepada prospek untuk mencatatkan keuntungan susulan pemuktamadan perniagaan tenaga yang 50 peratus dimilikinya dan penerbitan hak,” katanya dalam nota hari ini.

Maybank IB Research membuat saranan “beli” dengan harga sasaran RM0.55 sen.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd. berkata Sapura Energy mencatatkan unjuran yang lebih baik, namun lebih rendah daripada yang dijangka.

“Prestasi lemah itu disumbangkan terutamanya oleh sumbangan yang rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) selain segmen penggerudian akibat kos lebih tinggi yang ditanggung. Kebanyakan projek E&C masih dalam fasa awal pemerolehan selain penggunaan aset yang rendah,” katanya.

Public Investment Bank Bhd. membuat saranan “berprestasi pasaran” dengan sasaran harga RM0.43 sen.

Pada 10.07 pagi, saham Sapura Energy Bhd adalah setengah sen lebih rendah pada 34 sen dengan 40,199,000 saham diniagakan. -BERNAMA