SC dalam kenyataannya berkata, firma tersebut dan rakan kongsinya didapati tidak mematuhi piawaian pengauditan antarabangsa dalam dua pemeriksaan yang dijalankan oleh AOB, masing-masing pada 2016 dan 2018.

Katanya, firma itu gagal membetulkan ketidakpatuhan itu yang dikenal pasti dalam pemeriksaan pertama.

Akibatnya, firma dan rakan kongsinya, Hong Thuan Boon dan Liew Kwai Choy dilarang menerima PIE atau kumpulan wang berjadual sebagai pelanggan dan dilarang mengaudit penyata kewangan mereka selama 12 bulan.

Firma itu didenda RM175,000 manakala Hong didenda RM57,000.

SC berkata, Hong dan Liew masing-masing merupakan rakan dan terlibat bersama dalam penilaian semula kawalan kualiti bagi audit tersebut.

“Satu lagi rakan kongsi firma tersebut, Yap Peng Boon (Yap) turut didenda RM44,000 kerana tidak mematuhi prosedur audit. Firma berkenaan, Hong, Liew dan Yap merayu kepada SC terhadap keputusan AOB itu, bagaimanapun SC menolak rayuan tersebut dan mengesahkan tindakan AOB,” katanya.

Larangan terhadap firma, Hong dan Liew berkuat kuasa mulai 6 Ogos 2019.

AOB ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan berkuat kuasa pada 1 April 2010 untuk mempromosi dan membangunkan rangka kerja pemantauan audit yang berkesan dan bagi mempromosi keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang telah diaudit di Malaysia. - BERNAMA