.

Pada masa sama, kerajaan juga sudah tidak mampu untuk melaksanakan tindakan menyelamat (bailout) dengan menyuntik dana kepada MAB.

Walaupun langkah tersebut hanya opsyen yang hendak dipertimbangkan, tetapi telah mengundang pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk pembangkang kerajaan dan penganalisis ekonomi. Rata-rata mereka yang mahu perkara berkenaan dikaji serta diberi pertimbangan sewajarnya.

Pembangkang menyatakan MAB kini dalam fasa pemulihan dan perlu diberi masa secukupnya untuk melaksanakan segala perancangan sementara para penganalisis berpendapat MAB perlu beroperasi pada skala yang lebih kecil.

Menurut HLIB Research, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) berpotensi mendapat manfaat daripada dominasi pasaran yang lebih besar. Jika itu berlaku, AirAsia pasti ‘tersenyum lebar’.

Di sebalik tumpuan kepada MAB, masih terdapat beberapa pihak berkepentingan lain turut gusar dengan cadangan kerajaan itu.

* Pekerja

Golongan pekerja pasti terkesan dengan cadangan tersebut. MAB mengumumkan pemberhentian 6,000 pekerjanya pada 1 Jun 2015 sebagai sebahagian daripada program penstrukturan syarikat. Kes seperti ini bukan baharu apabila Japan Airlines (JAL) dan Philippine Airlines (PAL) juga melakukan tindakan serupa.

Kehilangan pekerjaan pasti memberi tekanan ditambah pula kos sara hidup yang tinggi dan kesukaran mendapat kerja. Berdasarkan laporan berita tahun lalu, Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendedahkan terdapat ramai bekas pekerja MAB masih tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas tiga tahun diberhentikan.

Tutup atau jual MAB tidak membawa kesan berbeza. Sekali pun MAB diambil alih pemilik baharu, strategi perniagaan memaksa syarikat itu untuk mengurangkan kos operasi yang akhirnya mendorong kepada pengurangan pekerja. Pada masa sama, motivasi pekerja turut terjejas dengan situasi yang berlaku.

* Pelanggan

Ketiadaan MAB membawa kepada monopoli pihak tertentu dalam industri penerbangan. Kekurangan persaingan mampu mempengaruhi penawaran-penawaran menarik terutama daripada aspek promosi, harga tiket dan perkhidmatan.

Jika tiket mahal sekali pun terpaksa juga dibeli semata-mata untuk ke destinasi yang dituju. Itu sahaja yang dan pengguna tiada pilihan lain.

Jika ada, belum tentu syarikat-syarikat penerbangan lain menawarkan laluan yang sama. Ketiadaan pesaing yang setara juga boleh memberi tekanan kepada syarikat penerbangan lain.

Pasaran yang dinamik perlu disokong oleh kitaran perniagaan yang kompetitif. Berada dalam zon selesa menyebabkan tadbir urus perniagaan hampir statik atau tidak banyak berubah. Akhirnya yang menanggung kerugian adalah pelanggan.

* Ubah model perniagaan

Pengecilan operasi seperti yang disarankan oleh penganalisis berupaya membantu MAB untuk menurunkan kos operasi di samping memberi tumpuan kepada laluan yang menguntungkan.

Penerbangan domestik boleh dilepaskan sepenuhnya memandangkan AirAsia, Firefly dan Malindo Air sudah cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan ditambah pula faktor harga tiket yang lebih murah.

MAB dan syarikat penerbangan lain menggunakan model perniagaan yang berbeza. Bagaimanapun, industri penerbangan adalah pasaran terbuka dan sesiapa pun boleh mengadaptasi model yang berlainan.

Sebagai sebuah entiti perniagaan yang bermotifkan keuntungan, penerbangan ke kawasan pedalaman tidak menjadi keutamaan kerana tidak memberi sebarang pulangan. Namun, ia menimbulkan konflik tanggungjawab sosial sebagai sebuah syarikat penerbangan milik negara.

Jika begitu, kerajaan harus membantu MAB untuk menangani kerugian yang ditanggung seperti pemberian insentif khas untuk terbang ke kawasan berkenaan.

Bergerak ke hadapan, kerajaan harus memberi ruang kepada MAB untuk melaksanakan pelan pemulihan yang telah berjalan sejak lima tahun lalu. Sasaran untuk mendapat pulangan modal pada 2018 belum tercapai disebabkan beberapa faktor luaran yang tidak boleh dikawal seperti kenaikan harga bahan api dan penyusutan nilai ringgit.

Selepas diasak dengan pelbagai reaksi negatif berhubung cadangan tersebut, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi jaminan kerajaan tidak akan menutup MAB. Kata-kata itu pastinya memberi kelegaan kepada banyak pihak terutama para pekerja.

Namun, ia belum cukup kerana kerajaan boleh membuat pusingan u tanpa diduga. MAB merupakan kebanggaan serta maruah negara dan perlu dipertahankan.

HABIS…