Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bagaimanapun penggabungan tersebut boleh dilakukan pada masa depan setelah kedudukan kewangan Felda kembali kukuh.

“Ingin saya tegaskan, pe­ngambilalihan bukan langkah terbaik pada masa ini kerana Felda perlu menguruskan ke­upayaan kewangan dan ope­rasinya terlebih dahulu sebelum menyelesaikan masalah FGV.

“Tambahan pula pengurusan FGV telah menggariskan pelan strategik untuk memulihkan syarikat berkenaan supaya mampu memberi pulangan positif kepada Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai impak pengambilalihan kepada pekerja, Ahmed Razman berkata, jika menjadi kenyataan ia akan menyebabkan berlakunya pengurangan tenaga kerja berikutan pertindihan jabatan dan fungsi serta tanggungjawab kerja.

“Ada baiknya Felda dan FGV melakukan inisiatif pemulihan terlebih dahulu supaya mereka dapat berkembang maju, malah dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu pada masa depan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan pres­tasi kewangan Felda merosot sehingga mencatat kerugian RM4.9 bilion pada 2017 selepas penyenaraian FGV.

Felda menjana keuntungan operasi melalui pengurusan ladang komersial miliknya seluas 400,000 hektar sebelum penyenaraian. Felda mencatatkan keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.1 bilion setahun bagi tempoh 2007 sehingga 2011.

Bagi tujuan penyenaraian FGV, Felda telah menyerahkan pengurusan ladang komersial miliknya melalui perjanjian sewa tanah (LLA) untuk tempoh 99 tahun.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd. Redza Abdul Rahman berkata, kedua-dua pihak sama ada Felda mahupun FGV perlu mencapai persetujuan demi kepentingan masing-masing.

Ini kerana katanya, kejatuhan harga pasaran minyak sawit mentah (MSM) bukannya salah Felda ataupun kerajaan, tapi di­sebabkan faktor-faktor lain yang di luar kawalan.

“Sama ada FGV boleh kembali untung tanpa LLA, kedua-dua pihak perlu berbincang supaya penyelesaian yang dicadangkan tidak membebankan FGV pada ketika mereka sedang menstruktur semula operasi dalam usaha meyakinkan semula pelabur. Di samping itu, ia tidak membebankan Felda sebagai organisasi yang bertanggungjawab terhadap peneroka,” katanya.

Dalam kenyataan 12 April lalu, FGV bersetuju terdapat keperluan segera menyemak semula terma LLA dengan Felda memandangkan perkara tersebut kerap kali dibangkitkan sejak tiga tahun lalu hingga mencetuskan ketidaktentuan dan kebimbangan dalam kala­ngan pemegang saham.

Di bawah terma semasa LLA, FGV perlu membayar pajakan tetap sebanyak RM250 juta setahun untuk tempoh selama 99 tahun, bermula 2012. Bayaran sebanyak RM250 juta ini dibayar tanpa mengira pergerakan harga semasa MSM.

Pada 2012 semasa rundingan LLA dibuat, purata harga MSM adalah RM2,843 satu tan metrik manakala harga MSM pada 10 April 2019 adalah RM2,047 satu tan metrik.