Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, syarikat itu mahu meningkatkan penggunaan perkhidmatan kereta api sepanjang koridor tersebut walaupun menghadapi persaingan sama ada daripada pesaing langsung atau tidak langsung serta perkhidmatan e-hailing.

“Kami bukan satu-satunya menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai destinasi di sepanjang koridor itu. Oleh itu, kita perlu menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

ERL mengumumkan kerjasamanya dengan KL Hop-On Hop-Off dalam menyediakan cara terpantas untuk penumpang transit dengan masa menunggu sekurang-kurangnya lapan jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi memberikan ekspedisi lawatan ringkas ke Kuala Lumpur.

Ia menyasarkan penumpang dari Asia Barat, Amerika Syarikat dan Eropah menerusi pakej tersebut.

Mohd. Nadzmi berkata, pakej baharu ini merupakan cara ideal untuk pelawat kali pertama ke Kuala Lumpur untuk mengikuti lawatan sekitar ibu kota secara santai.

Beliau berkata, syarikat itu berharap perkhidmatan tersebut akan mendapat sambutan selari dengan Tahun Melawat Malaysia tahun depan. - BERNAMA