Projektor laser Epson EF-100 itu berupaya memancarkan imej berkualiti tinggi dari mana-mana sudut kediaman pengguna. Menerusi saiz pemancaran yang berukuran setinggi 150 inci, barisan projektor inovatif ini menggabungkan pemancaran skrin besar dengan ciri fleksibiliti dan bakal mengubah landskap pasaran projektor kediaman.

Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori berkata, menerusi produk siri EF-100, pihaknya mahu merevolusikan cara pengguna menonton kandungan digital.

“Projektor berkenaan yang hadir dengan ciri penggunaan mudah serta keupayaan mudah alihnya, membolehkan pengguna memindahkan projektor tersebut ke mana-mana ruang atau bilik dalam kediaman mereka.

“Pengguna juga tidak perlu khuatir dengan kaedah pemasangan produk ini kerana semuanya dapat dibuat dengan mudah. Dengan saiz pemancaran berukuran 150 inci, pengguna boleh menghidupkan suasana pawagam dalam kediaman mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Dengan reka bentuk serba minimalis, projektor mudah alih itu hadir dalam warna hitam (EF-100B) dan putih (EF-100W). Direka untuk pengguna yang mementingkan estetika, barisan projektor itu dapat disesuaikan dengan suasana kediaman dan gaya hidup pengguna.

Projektor-projektor tersebut bersaiz kompak dan ringan, sisinya paling panjang hanya berukuran 23 sentimeter (cm) dengan berat 2.7 kilogram (kg).

Melalui sambungan port HDMI, projektor ini juga dapat diakses menerusi telefon mudah alih, tablet, pemain DVD, konsol permainan video mahupun komputer riba.

Selain itu, pengguna boleh menyiarkan atau strim kan­dungan digital dengan mudah, peranti penstriman boleh ­disambungkan di bahagian belakang projektor berkenaan.